Skip to main
Logo Malaysiakini

Acryl Sani digesa percepat siasatan 'ladang toyol siber'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani digesa mempercepat siasatan isu "ladang toyol siber" (troll farm) seperti yang didakwa Meta, iaitu syarikat di sebalik Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Hasil siasatan itu pula, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng, perlu didedahkan kepada umum kerana ia didakwa membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata Lim PDRM tidak seharusnya membiarkan agensi itu diperalatkan sebagai alat politik dengan mendalangi 'ladang toyol siber' yang menggunakan akaun palsu di media sosial untuk mengolak sokongan kepada kerajaan semasa, sambil mengulang-ulang dakwaan rasuah palsu terhadap pengkritik kerajaan.

"Acryl Sani sepatutnya menjunjung dan melaksanakan kewajipan undang-undang PDRM kepada negara seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967, dan tidak terikat kepada ahli politik yang memerintah kerajaan semasa," katanya hari ini.

Menurut Lim siasatan Meta menemukan lebih 600 akaun palsu yang menyiarkan olokan dalam bahasa Melayu dan ia dikaitkan dengan pasukan keselamatan terbabit.

Anggota Parlimen Bagan itu berkata, Acryl Sani tidak sepatutnya merendahkan kedudukan dirinya sebagai 'boneka politik' apabila gagal melaksanakan kewajipan undang-undang secara bebas dan profesional.

Tambah Lim, dalam satu kenyataan ringkas menafikan laporan Meta sebelum ini, PDRM memaklumkan mereka memandang serius dakwaan itu dan sedang mengumpul maklumat lanjut.

Masalahnya kata Lim sehingga kini tiada maklum balas lain terhadap kemajuan atau hasil pengumpulan maklumat oleh PDRM.

Terdahulu Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa siasatan awam mesti dilaksanakan untuk menyiasat laporan Meta yang mengaitkan PDRM dengan troll farm yang beroperasi di platform media sosial

Tegasnya penafian daripada PDRM mengenai dakwaan Meta itu tidak mencukupi dan tidak meyakinkan.

Sebagai rekod Meta dalam laporan Quarterly Adversarial Threat Report sebelum ini mendedahkan pihaknya telah memadam ratusan akaun, halaman dan kumpulan di Facebook dan Instagram yang menjadi sebahagian daripada troll farm yang menyasarkan pengguna media sosial di Malaysia.

Troll farm ditakrifkan sebagai organisasi yang mengendalikan akaun palsu untuk membuat hantaran menyinggung dan bernada provokasi untuk mencetuskan konflik atau memanipulasikan pandangan awam.

Meta berkata siasatannya mendapati perkara itu berkaitan dengan PDRM.