Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bekas pegawai BNS dijangka didakwa esok berhubung projek LCS'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPRM dijangka mendakwa seorang bekas pegawai tinggi Boustead Naval Shipyard (BNS) - kontraktor yang ditugaskan untuk membina enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia - atas pertuduhan pecah amanah.

Bernama memetik sumber yang tidak dinamakan mengesahkan perkara itu.

Kata sumber, “seorang lelaki berusia hampir 80 tahun” akan didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Jemputan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia lewat petang ini turut memaklumkan mengenai pertuduhan terhadap lelaki itu esok. 

Sementara itu, akhbar berbahasa Inggeris, The Star, juga memetik sumber menyebut bahawa suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi esok.

“Ya, kami mengenakan pertuduhan ke atas individu tertentu esok (Selasa),” lapor akhbar itu.

Menurut semakan sistem mahkamah, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion LCS, dengan RM6 bilion dibayar pada 2020.

Walaupun kerajaan telah membayar jumlah yang besar, tiada satu pun kapal telah disiapkan selepas lapan tahun; projek ini dimulakan pada tahun 2014.

Susulan itu, SPRM pada 11 Ogos dilaporkan berkata mereka telah menyelesaikan beberapa siasatan terhadap individu tertentu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dalam mengendalikan projek pembinaan LCS.