Skip to main
Logo Malaysiakini

Hospital swasta terkenal didakwa silap bagi ubat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak puas hati dengan seorang doktor yang didakwa memberi preskripsi ubat silap kepada anaknya, seorang bekas penyampai radio membuat aduan terhadap hospital swasta terkenal di Petaling Jaya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, A Kumaresh mengesahkan membuat aduan terhadap doktor tersebut melalui portal rasmi hospital itu, tidak lama setelah mendedahkannya di media sosial.

"Tindakan doktor itu memberi preskripsi yang silap merupakan satu tindakan sangat cuai.

"Saya harap pihak hospital membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai dalam insiden ini," kata bekas kakitangan sebuah radio berbahasa Tamil yang juga seorang pelakon.

A Kumaresh

Aduan itu dibuat oleh isterinya Sivagamy Gobalan.

Terdahulu, Kumaresh memuat naik video melalui TikTok meminta orang ramai lebih peka ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta, setelah menceritakan kisahnya.

Dia juga meminta orang ramai supaya memeriksa bil sebelum membuat bayaran. Sehingga kini video tersebut ditonton lebih 700,000 kali dan dikongsi lebih 6,000 kali.

Malaysiakini telah menghubungi hospital itu dan sedang menunggu maklum balasnya. 

Kumaresh berkata  ketika mendapatkan rawatan pada 13 Ogos, doktor memberikannya ubat influenza dan memberitahu bahawa ujian bagi mengesahkan penyakit itu tidak perlu dibuat.

Bayaran RM455 dikenakan bagi setiap seorang.

"Ketika kami memeriksa bil, terdapat caj untuk ujian influenza sedangkan ujian itu tidak dibuat. Selepas kami bertanya bil baru dikeluarkan dengan bayaran RM280,” katanya.

Tukar bil lagi

Katanya, di farmasi, mereka mendapati ubat untuk influenza diberikan.

"Kami bertanya siapa akan bertanggungjawab jika anak kami makan ubat yang silap?

"Kemudian, datang seorang lagi staff di farmasi minta menunggu. 

“Selepas menunggu lebih 45 minit staff itu kembali dan berkata bahawa doktor itu silap memberi perubatan. Dia meminta maaf dan bil dikurangkan kepada RM160,” katanya.

Sementara itu, dakwanya, ketika menunggu mendapatkan ubat baru, seorang “ketua jabatan kecemasan” menghampirinya.

"Dia memeriksa ubat yang diberi dan bertanya kenapa kami diberi antibiotik. Menurutnya, antibiotik tidak perlu dimakan pada hari pertama demam. 

"Kami sangat kecewa dan tidak puas hati dengan layanan hospital swasta tersebut.

"Saya juga telah hilang keyakinan sepenuhnya terhadap integriti, profesionalisme dan kelakuan doktor tersebut.

"Harap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  memberi perhatian serius dalam isu ini," katanya.