Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah tolak permohonan tangguh kes utama

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasukan pembelaan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak hari ini gagal dalam permohonan untuk mengemukakan bukti baru dalam kes RM42 juta SRC International.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa keterangan adalah tidak relevan dengan kes itu dan dakwaan percanggahan kepentingan hakim perbicaraan tidak dibuktikan.

Permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga hingga empat bulan juga ditolak dan prosiding disambung semula pada Khamis.

Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini.


Keadilan adalah jalan yang panjang: Zaid Ibrahim

4.10 petang: Peguam Zaid Ibrahim berkongsi kekecewaan Najib Razak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mengemukakan bukti baru kes SRC serta permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama selama tiga hingga empat bulan.

Peguam baru bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya.

"(Kami) simpati penuh kepada Najib dan keluarganya. Tetapi keadilan adalah jalan yang panjang. Kadang-kadang anda boleh mendapatkannya di sini, (atau) anda boleh mendapatkannya di tempat lain," kata bekas menteri undang-undang itu.


Pasukan undang-undang baru Najib akan pertimbangkan tindakan seterusnya

4.08 petang: Pasukan undang-undang baru Najib Razak sedang mempertimbangkan tindakan seterusnya berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menafikan permohonan terbaru mereka untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama SRC.

Semasa sidang media di Istana Kehakiman Putrajaya, Hisyam Teh Poh Teik berkata bahawa mereka memohon penangguhan itu kerana rayuan itu melibatkan beribu-ribu data serta alasan penghakiman untuk diteliti.

"Memandangkan mahkamah telah menangguhkan ke Khamis, sebagai peguam kami perlu membuat keputusan tentang tindakan seterusnya yang boleh kami ambil, memberi pertimbangan yang serius, kerana ini adalah pusingan terakhir rayuan utama," katanya.


Najib terkejut, kecewa dengan keputusan mahkamah

4.04 petang: Selepas prosiding, bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa "terkejut dan sangat kecewa dengan keputusan hakim" yang tidak membenarkan permohonannya mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

""Saya percaya bukti jelas menunjukkan hakim (Mohd) Nazlan (Mohd Ghazali) sangat memiliki konflik (kepentingan).

“Dia sangat mengetahui transaksi 1MDB dan SRC dan oleh itu menganggap mempunyai pengetahuan peribadi mengenai kedua-dua entiti ini.

“Saya percaya para penyiasat SPRM juga menyedari fakta ini, tetapi kami tidak dapat mengemukakan (bukti tambahan).

"Saya harap dalam rayuan terakhir, kami dapat menunjukkan kebenaran perkara itu," kata Najib semasa sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan tangguh permohonan utama 3, 4 bulan

3.56 petang: Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan pasukan pembelaan Najib Razak untuk menangguhkan pendengaran permohonan utama kes SRC International.

Tengku Maimun berkata, pihak terlibat sebelum ini sudah maklum bahawa tarikh pendengaran ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya telah membuat segala persiapan.

Dia bagaimanapun membenarkan pendengaran permohonan itu ditangguh ke hari Khamis minggu ini.


3.45 petang: Najib Razak masuk ke mahkamah dan prosiding di Mahkamah Persekutuan diteruskan.


2.58 petang: Prosiding di depan paneli lima hakim Mahkamah Persekutuan dijangka bersambung pada kira-kira jam 3.30 petang nanti.

Perkara itu disampaikan oleh seorang anggota pendakwaan kepada media.


1.30 tengah hari: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan prosiding ditangguh sekejap bagi memutuskan permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pendengaran permohonan utama anak guamnya.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah dua kali menolak permohonan untuk menangguhkan kes daripada pasukan Najib.


Peguam Najib mohon pendengaran permohonan utama ditangguh

1.27 tengah hari: Susulan keputusan mahkamah menolak permohonan Najib Razak, peguam bekas perdana menteri itu memohong penangguhan terhadap pendengaran permohonan utama kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Hisyam Teh Poh Teik memohon pendengaran rayuan terakhir Najib bagi mengenepikan sabitan dan hukuman terhadapnya, yang dijadual hari ini, ditangguhkan.

Dia memohon penangguhan selama tiga ke empat bulan.

Dia berkata, ada hujah dan aspek undang-undang yang kuat yang berpihak kepada Najib.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan pendengaran permohonan utama itu, selepas menyampaikan keputusan untuk menolak permohonan untuk mengemukakan bukti baru dalam kes itu.


Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib

1.23 tengah hari: Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Tengku Maimun memutuskan bukti tersebut tidak relevan dengan kes terhadap Najib dan gagal menunjukkan hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan.


Prosiding bersambung

12.54 tengah hari: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat masuk ke mahkamah untuk menyampaikan keputusan permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.


Tiada penyokong ‘bossku’ hari ini

11.40 pagi: Suasana di luar Mahkamah Persekutuan agak lengang hari ini apabila tiada penyokong Najib Razak yang hadir.

Semalam, sejumlah penyokong - termasuk bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam - hadir sebagai solidariti dengan bekas perdana menteri itu.

Kebiasaannya kumpulan penyokong Najib akan hadir menunggu di luar mahkamah, seperti ketika perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum ini.


Panel hakim akan buat keputusan permohonan Najib

10.21 pagi: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengumumkan panel lima hakim akan menangguhkan sebentar prosiding bagi membuat keputusan terhadap permohonan Najib.


'Hakim Nazlan ada risiko berat sebelah'

9.48 pagi: Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata walaupun perkara berkenaan hakim perbicaraan SRC, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berada dalam pengetahuan awam, tetap wujud risiko berat sebelah, walaupun ia hanya satu kemungkinan.


Peguam: Mahu jawapan dari saksi, bukan nak dokumen OSA

10.14 pagi: Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata hujah pendakwaan bahawa Najib meminta dokumen dilindungi atau dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) daripada saksi berkaitan SRC adalah tidak benar.

Dia berkata mereka hanya mahukan jawapan daripada saksi berkaitan dakwaan mereka bahawa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada risiko berat sebelah.

Katanya, jawapan daripada saksi-saksi itu - yang termasuk pegawai SPRM dan pegawai bank - adalah relavan untuk bukti tambahan diberikan.


Afidavit Najib penuh skandal, tak relevan - DPP

9.41 pagi: DPP V Sithambaram berhujah bahawa afidavit Najib bagi menyokong permohonannya tidak mematuhi peraturan berkenaan afidavit.

Dia berkata, afidavit tersebut penuh skandal (scandalous) dan tidak relevan kerana ia tidak perkaitan dengan pertuduhan terhadap Najib dalam kes SRC dan dakwaan wujudnya konflik kepentingan terhadap hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


Prosiding bermula

9.37 pagi: Najib Razak masuk ke dalam mahkamah. Pendengaran bagi permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan bersambung.


9.20 pagi: Najib Razak dilihat duduk di galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.

Turut dilihat tiba di Mahkamah persekutuan adalah peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram.


Peguam Hisyam Teh Poh Teik akan membuat penghujahan balas terhadap hujah pihak pendakwaan yang berkata mahkamah harus menolak bukti itu kerana afidavit sokongan Najib berdasarkan keterangan khabar angin atau 'hearsay'.

Di bawah undang-undang, 'hearsay' ialah laporan kata-kata orang lain oleh saksi, yang mahkamah biasanya tidak membenarkan ia diambil sebagai bukti semasa perbicaraan.

Di depan panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam, peguam berkata Najib dan pasukan pembelaannya tidak mengetahui tentang dakwaan konflik kepentingan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pasukan pembelaan berkata mereka hanya tahu berkenaannya selepas menerima surat tanpa nama kepada Najib antara 9 Mei hingga 7 Julai, yang mengandungi apa yang didakwa sebagai bukti baru.

Permohonan itu juga disokong afidavit Najib berkenaan apa yang kononnya diberitahu tiga pegawai SPRM dan dua pegawai bank kepada SPRM ketika siasatan SRC.

Peguam juga berkata isu konflik kepentingan berbangkit daripada kedudukan Nazlan sebelum ini, iaitu sebagai peguam di Maybank Investment, dengan Maybank didakwa terlibat dalam penubuhan SRC.

Susulan sabitan dan hukuman terhadap Najib pada Julai 2020, Nazlan telah dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 3 Februari 2022.

Selain Tengku Maimun, turut mendengar permohonan Najib adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Menerusi permohonan ini, Najib memohon agar sabitan terhadapnya - iaitu untuk satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram - dibatalkan.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib.

Jika Mahkamah Persekutuan menolak permohonan ini, mahkamah akan terus mendengar permohonan utama Najib dalam kes SRC, iaitu untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

SRC adalah subsidiari 1MDB sebelum menjadi milik penuh Minister of Finance Inc - yang juga pemilik 1MDB - pada 2012.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.