Skip to main
Logo Malaysiakini

Skandal LCS: Bekas pengarah BNS hadapi 3 pertuduhan pecah amanah RM21j

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas pegawai kanan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang juga bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa dengan pertuduhan pecah amanah jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Ramli adalah bekas pengarah urusan dan naib pengerusi eksekutif BNS.

Dia didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, didakwa melibatkan RM21.08 juta

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Hadir ke mahkamah dengan berkemeja hitam dan kot putih, Ahmad Ramli, 78, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ketika ia dibacakan di depan hakim Susana Hussein.

BNS adalah syarikat yang mendapat projek membina enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk TLDM, yang dirundung masalah dan kini mendapat perhatian negara.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion LCS, dengan RM6 bilion dibayar pada 2020.

Walaupun kerajaan telah membayar jumlah yang besar, tiada satu pun kapal telah disiapkan selepas lapan tahun; projek ini dimulakan pada tahun 2014.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Ogos dilaporkan berkata mereka telah menyelesaikan beberapa siasatan terhadap individu tertentu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dalam mengendalikan projek pembinaan LCS.

Diikat jamin RM0.5 juta

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramli didakwa secara curang meluluskan tiga transaksi berbeza berjumlah RM13,541,140 dari 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.

Urus niaga itu didakwa telah dihantar ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited di bank Standard Chartered di Singapura.

Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad Ramli didakwa secara curang meluluskan pembayaran - berjumlah RM1,360,716 - kepada JSD Corp Pte Ltd di The Overseas-Chinese Banking Corp Ltd, juga di Singapura.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa secara curang meluluskan bayaran berjumlah RM6,182,295 kepada Sousmarin Armada Ltd di Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov tahun yang sama.

Ketiga-tiga transaksi itu juga dikatakan berlaku tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat terbabit.

Semua kesalahan berkenaan didakwa berlaku di pejabat BNS yang beralamat di Tingkat 17 Menara Boustead, 69, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Kejadian berkenaan didakwa berlaku antara 26 Julai 2010 hingga 4 Mei 2011.

Pertuduhan ke atas Ahmad Ramli itu dipercayai ada kaitan dengan skandal LCS yang sedang menjadi perhatian ramai ketika ini..

Ahmad Akram Gharib yang bertindak selaku timbalan pendakwa raya memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 terhadap tertuduh.

Peguam bela tertuduh, Mohd Yusof Zainal Abiden, bagaimanapun tidak membantah jumlah yang dicadangkan Ahmad Akram itu.

Mahkamah kemudian menetapkan Ramli diikat jamin sebanyak RM500,000 dan menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Ramli juga dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.