Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu kerakyatan anak: Menteri undang-undang akan jumpa ibu, NGO terlibat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan isu kerakyatan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan berjumpa dengan wakil NGO Family Frontiers dan ibu yang terlibat.

Timbalan Menteri Undang-undang Ermieyati Samsudin (gambar, bawah) memaklumkan hal ini pada satu sidang media selepas mesyuarat exco Wanita Bersatu di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga naib ketua Srikandi (Wanita Bersatu) berkata dia telah berjumpa dengan wakil Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan KL, dikenali sebagai Family Frontiers bersama ibu-ibu yang terlibat pada minggu lalu.

Jelasnya, akan terdapat penambahabaikan dan pindaan undang-undang yang akan dilakukan dalam menangani isu berkenaan.

“Insyaallah Khamis ni, YB Wan Junaidi akan berjumpa dengan mereka untuk bentangkan cadangan tentang perkara-perkara yang boleh dibawa kepada penambahbaikan termasuklah ada pindaan yang akan dibuat.

“Supaya ia boleh dibawa kepada jawatankuasa khas untuk dibincangkan isu kewarganegaraan ini,” katanya ketika sidang media mesyuarat exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos menyebelahi kerajaan dalam memutuskan anak yang dilahirkan oleh ibu Malaysia di luar negara tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Mas Ermieyati berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan untuk meminda perlembagaan berhubung isu itu.

Pada Dis 2020, enam ibu warga Malaysia pada membawa kes itu terhadap kerajaan, dengan sokongan Family Frontiers.

Malaysia ialah salah satu dari 25 negara yang tidak memberikan hak sama rata kepada ibu dan bapa di bawah undang-undang kewarganegaraan negara.

Bagaimanapun, anak yang lahir di luar negara dengan berbapakan warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan asing boleh mendapat kerakyatan secara automatik, tanpa mengira kewarganegaraan ibu.

Perkara 14 (1) (b), yang apabila dibaca dengan kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, hanya memberikan hak kepada bapa warganegara Malaysia untuk mewariskan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Beberapa pihak menimbulkan persoalan mengenai Perkara 14 Perlembagaan yang membenarkan anak di luar persekutuan mendapatkan kerakyatan, mendakwa ia bersifat diskriminasi kerana melanggar peruntukan kesamaan.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa "semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang."