Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM kaji tambah baik insentif doktor kontrak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya sedang mengkaji untuk menambah baik pelbagai insentif kepada pegawai perubatan kontrak bagi menggalakkan mereka kekal dalam perkhidmatan awam selepas gagal mendapatkan jawatan tetap yang diumumkan hari ini.

Khairy berkata, lebih 8,000 pemohon menerima e-mel daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini yang memaklumkan sama ada mereka mendapat jawatan tetap di Kementerian Kesihatan atau tidak, dengan seramai 4,053 daripada mereka berjaya.

“Saya faham, pasti ada pihak yang kecewa. Sebab itu di Kementerian Kesihatan, selepas perbincangan kami dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai laluan kerjaya bagi mereka yang tidak mendapat jawatan tetap, mereka akan kekal sebagai pegawai kontrak.

“Tetapi kami cuba memastikan mereka sekurang-kurangnya mendapat insentif yang lebih baik dan mereka juga mendapat peluang untuk meneruskan latihan di peringkat kepakaran atau sub-kepakaran, walaupun mereka masih doktor kontrak,” katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Khairy, seramai 8,052 pemohon telah menghadiri temu duga bagi jawatan tetap.

Mereka yang berjaya lulus ialah 3,215 pegawai perubatan, 438 pegawai pergigian dan 400 ahli farmasi, dengan jumlah keseluruhan 4,053.

Khairy menjelaskan bahawa terdapat 225 individu dalam senarai simpanan.

Bagi mereka yang tidak berjaya, kata Khairy, dia perlu berbincang dengan JPA terlebih dahulu sama ada mereka dibenarkan memohon semula jawatan tetap tahun depan atau tidak.

"Pandangan saya adalah lebih baik mereka memohon semula, tetapi kita perlu berbincang dari segi peraturan dengan JPA terlebih dahulu," katanya.

Khairy juga berkata kriteria pemilihan jawatan tetap perlu dijelaskan kerana dia telah menerima beberapa e-mel daripada doktor yang kecewa yang mempersoalkan mengapa mereka tidak berjaya.

Semasa salah satu sesi dialog panel yang disertainya, Khairy berkata kementeriannya menawarkan bilangan jawatan tetap tertinggi bagi pegawai perubatan tahun ini sejak 2016.

Khairy juga berikrar bahawa kementeriannya akan menawarkan sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun pada masa hadapan.