Skip to main
Logo Malaysiakini

Imigresen: Waspada tawaran gaji tinggi kerja luar negara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud menggesa rakyat Malaysia supaya berwaspada apabila dengan sebarang tawaran pekerjaan di luar negara yang dijanjikan daripada mana-mana ejen kerja.

Ini berikutan beberapa kes rakyat Malaysia yang didakwa ditipu oleh sindiket yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi di Kemboja dan akhirnya dikurung dan diseksa.

Khairul berkata dia telah mengarahkan pegawainya "sekurang-kurangnya memberi nasihat" kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran kerja yang menjanjikan gaji yang lumayan.

Bagaimanapun, dia mengakui pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menghalang rakyat Malaysia daripada ke luar negara selagi mereka tidak disenaraihitamkan oleh mana-mana agensi kerajaan.

"Jika mereka tak ada sebarang rekod jenayah atau tak pernah ada sebarang halangan, Jabatan Imigresen tak boleh halang mereka ke luar negara.

"Sama ada mereka menjadi mangsa scam (penipuan), ini di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen," kata Khairul dalam sidang media di Putrajaya petang ini.

Pada 6 Ogos, dua rakyat Malaysia berkongsi pengalaman mereka di ibu pejabat PKR, mendedahkan bahawa mereka dibawa ke lokasi yang ternyata menjadi tapak operasi yang dijalankan oleh sindiket penipuan yang kejam.

Salah seorang mangsa, Mah berkata dia telah dijual dari satu sindiket kepada sindiket yang lain sebanyak lima kali. Dia berkata dia menyaksikan mangsa lain bunuh diri kerana putus asa dan juga mendengar khabar angin mangsa wanita dicabul semasa dia bersama sindiket itu.

Sementara itu, Khairul tidak menjawab secara langsung apabila ditanya mengenai pengalaman buruk warga Singapura dan China di depoh imigresen Pekan Nanas.

Dia hanya menegaskan mana-mana warga asing yang ditahan pihak berkuasa perlu bersedia menghadapi akibatnya.

"Semua warga asing yang masuk Malaysia perlu patuhi undang-undang Malaysia dan imigresen.

"Jika mereka ditangkap mereka perlu berdepan akibatnya," katanya ringkas.