Skip to main
Logo Malaysiakini

Peruntukan lebih pada KKM: Kerajaan perlu buat 'keputusan sukar' - KJ

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan perlu membuat beberapa "keputusan politik yang sukar" untuk menyediakan dana yang lebih banyak kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang sedang kekurangan peruntukan pada tahun seterusnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM perlu bersaing dengan kementerian lain untuk memperoleh peruntukan yang lebih banyak manakala hasil kerajaan pula berkurangan.

“Ahli politik perlu berfikir masak-masak sekiranya anda (mahu) meningkatkan hasil cukai dan bagaimana anda hendak meningkatkan hasil cukai.

"Mereka juga perlu mula fikirkan bagaimana, sebagai contoh, mereka mengagihkan hasil cukai itu supaya lebih banyak jumlah yang diperolehi untuk kesihatan awam, pendidikan dan barangan awam lain yang perlu kita utamakan," kata Khairy.

Dia berkata demikian ketika Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 dengan tema ‘Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Antara panelis yang hadir termasuk bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam, pengerusi Kumpulan Axiata Shahril Ridza Ridzuan dan pengarah eksekutif Pusat Kesihatan Sunway Centre for Planetary Health dari Sunway University Dr Jemilah Mahmood.

Khairy berkata satu lagi perkara yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah untuk rasionalisasi subsidi tetapi dia mengakui ia "keputusan politik yang amat sukar untuk dilakukan”.

Dia menegaskan kira-kira RM80 bilion daripada RM322.5 bilion peruntukan negara tahun ini diperuntukkan untuk subsidi.

"Sesetengah subsidi adalah perlu dan penting untuk mengurangkan inflasi tetapi pada masa hadapan, tidakkah anda mahu membelanjakan sebahagian daripada wang itu untuk pelaburan dalam penjagaan kesihatan," soal Khairy.

Katanya, ahli politik mesti berani apabila membuat keputusan sedemikian kerana mereka sudah pasti akan menerima kritikan daripada orang ramai.

Sebelum ini, Khairy berkata kerajaan Malaysia hanya membelanjakan kira-kira 2.6 peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan, walaupun jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan yang disyorkan bagi sesebuah negara adalah sekitar lima peratus daripada KDNK.

Meskipun langkah pertama untuk meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan adalah dengan memanfaatkan hasil kutipan cukai kerajaan, Khairy berkata terdapat alternatif lain sekiranya ia masih tidak mencukupi untuk menutup jurang pembiayaan kementerian.

Katanya, ia melalui skim pembayaran bersama untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa ini adalah pilihan terakhir dan ia memerlukan “perbincangan yang serius" tentang gabungan sosial baru, dari segi pembiayaan untuk penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Khairy berkata dia bersetuju dengan Jemilah, yang sebelum ini dalam sesi jawab soalan bersama panelis berkenaan isu memberikan akses penjagaan kesihatan kepada pekerja asing di Malaysia.

Jemilah berkata xenofobia dalam penjagaan kesihatan harus ditamatkan kerana penjagaan kesihatan adalah hak asasi manusia.

Ketika ditanya oleh salah seorang hadirin, jika kanak-kanak tanpa kerakyatan wajar diberi akses sama rata kepada penjagaan kesihatan di negara ini, sama seperti rakyat Malaysia, Khairy berkata setiap orang di Malaysia wajar mempunyai hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan, tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.

“Itulah pendirian Kementerian Kesihatan. Itulah pendirian saya semasa saya menjaga program imunisasi Covid-19.

“Cuma kita perlu bekerjasama dengan kementerian lain supaya mereka melihat pandangan kita juga dan khususnya kementerian yang bertanggungjawab ke atas imigresen dan menjaga hal ehwal dalam negeri.

"Kita perlu memberitahu mereka bahawa untuk perkara-perkara tertentu seperti ini, ia sepatutnya boleh diperolehi oleh mereka kerana ia juga boleh diperolehi oleh rakyat Malaysia," katanya.

[Baca berita penuh]