Skip to main
Logo Malaysiakini

MP gesa Dewan Rakyat bersidang bahas skandal LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempersoalkan mengapa sidang Dewan Rakyat tidak diadakan semula untuk membahaskan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ia selepas Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim pada minggu lalu membenarkan usul oleh senator Lim Hui Ying untuk membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal berjumlah RM9.12 bilion itu.

Sim mengucapkan tahniah kepada Rais dan para senator yang telah mengangkat martabat Dewan Negara sebagai "tempat membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat" dan bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Dewan Rakyat baru saja tamat susulan sidang tiga minggu pada awal bulan ini dan hanya akan kembali bersidang pada akhir Oktober ini.

"Seminggu yang lalu saya telah menggesa perdana menteri memanggil sidang khas Parlimen untuk membahaskan laporan PAC tersebut.

"Kini dengan duluan oleh Dewan Negara, tiada sebab mengapa Dewan Rakyat tidak boleh bersidang segera untuk membahaskan isu yang penting ini.

"Dalam petua yang dikeluarkan Yang di-Pertua Dewan Negara, beliau telah menggariskan tiga syarat utama membenarkan usul membahas laporan PAC tentang skandal LCS," katanya dalam kenyataan.

Kata Sim lagi, tiga syarat utama itu adalah:

  • Merupakan perkara tertentu ataupun spesifik

  • Berkepentingan orang ramai kerana melibatkan keselamatan negara

  • Perbahasan perkara ini berkehendak untuk disegerakan

"Justeru, berdasarkan petua yang sama, Dewan Rakyat harus segera bersidang untuk membahaskan isu yang amat kritikal ini," katanya lagi.


Baca: PANDUANKINI | Menyelami skandal LCS bernilai RM9 bilion