Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Wanita BN perlu gesa kerajaan selesai segara isu kewarganegaraan’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wanita BN digesa supaya mendesak kerajaan agar meluluskan isu kewarganegaraan segera tanpa perlu menunggu PRU ke-15.

Setiausaha PKR Cabang Batu, Yuslaini Azmi, berkata ia merujuk kepada resolusi yang dicadangkan pada Konvensyen Wanita BN beberapa hari lalu berhubung pindaan Perlembagaan.

Ia berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 14(1)(b) dan Seksyen 1(b) Bahagian II untuk perkataan 'bapa' dipanjangkan kepada ibu atau ditukar kepada 'ibu bapa'.

Yuslaini Azmi, Setiausaha PKR Cabang Batu

"Saya mempersoalkan dan menyelar tindakan Wanita BN yang masih mahu menunggu sehingga PRU ke-15 untuk mencadangkan pindaan ini sebagai sebahagian daripada manifesto BN.

"Tindakan ini seolah-olah tidak mengiktiraf beban yang sedang ditanggung oleh wanita-wanita Malaysia pada saat dan ketika ini yang masih bergelumang dalam kemelut perundangan bagi mendapatkan hak mereka dan anak-anak.

"Saya berpendapat cadangan ini mencerminkan bahawa Wanita BN dan Umno tidak mempunyai iltizam politik untuk menghentikan diskriminasi gender terhadap wanita Malaysia yang begitu jelas ini sedangkan NGO seperti Family Frontiers telah memperjuangkan isu ini sejak tahun 2020 lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sekiranya Wanita BN ingin memperjuangkan hak wanita Malaysia dalam isu berkenaan, mereka perlu mendesak Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 26 Okto nanti supaya membahaskan satu usul tergempar berkaitan isu ini.

Katanya, pindaan Perkara 14(1)(b) dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan ini memerlukan perhatian secepat mungkin oleh semua pihak.

Ia tidak seharusnya dijadikan modal politik semata-mata bagi meraih sokongan.