Dasar penghakiman di sebalik 'tamparan berganda' pada Najib
Semalam, Mahkamah Persekutuan memberikan "tamparan berganda" ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dengan menolak dua permohonannya, berkaitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Sementara Najib berkata dia terkejut dan sangat kecewa, alasan ringkas (broad grounds) yang dikeluarkan mahkamah semalam memberikan perspektif bagaimana penolakan itu dibuat.
Permohonan pertama Najib adalah untuk mengemukakan bukti baru untuk kes itu. Najib dan peguamnya mendakwa bukti itu menunjukkan hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada konflik kepentingan.
Ia berkenaan Nazlan yang pernah menjadi peguam kepada Maybank ketika SRC International membuat pinjaman daripada bank itu.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bagaimanapun mendapati bukti tersebut gagal menunjukkan ada sebarang kesalahan.
"Kami kemudian mendapati tiada perkaitan antara pekerjaan hakim Nazlan sebelumnya dengan Maybank dengan pendakwaan terhadap pemohon sehingga membayangkan ada konflik kepentingan," menurut hakim dalam penjelasan penghakiman yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Sementara itu, mahkamah juga menolak permohonan peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama selama tiga ke empat bulan antaranya kerana mereka - selaku pasukan peguam baru - memerlukan masa yang cukup untuk menyediakan hujah.
Pada 26 Julai, Najib menggugurkan pasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah dan melantik Messrs Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners untuk mewakilinya.
Mahkamah mengakui Najib ada hak untuk menukar peguamnya namun menjelaskan mereka tidak memberi alasan tidak bersedia untuk pendengaran.
"(Melantik peguam baru) adalah haknya untuk berbuat demikian tetapi dia tidak boleh, selepas membuat keputusan itu, mengatakan peguam barunya tidak bersedia untuk meneruskan (kes) dengan pendengaran rayuan.
"Peguam baru juga, setelah menerima arahan (untuk mewakilinya), tidak berhak untuk berkata mereka perlu lebih masa untuk bersedia, tahu sepenuhnya yang tarikh telah ditetapkan awal," kata panel hakim.
Dasar penghakiman penuh bagi kedua-dua keputusan boleh dibaca di bawah.
Penolakan permohonan mengemukakan bukti baru:
Penolakan permohonan menangguhkan pendengaran:
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai