Solidariti untuk Najib: Susah senang kita bersama - Zahid
Dikemas kini dengan berita penuh.
Zahid Hamidi mengajak anggota parti itu bersolidariti dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan rayuan akhir kes rasuah RM42 juta melibatkan SRC International di mahkamah.
Presiden Umno berkata, akar umbi Umno dan BN akan terus Najib tidak kira susah atau senang.
“Kita bukan kacang lupakan kulit.
“Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam Umno,” katanya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan memberikan tamparan berganda terhadap Najib dengan menolak dua permohonannya, berkaitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Mahkamah tertinggi dalam negara menolak permohonan Najib untuk mengemukakan “bukti baru” serta tidak membenarkan pendengaran kes rayuan utama ditangguhkan lagi sehingga tiga ke empat bulan.
Menulis di media sosial, Zahid berkata dia menghormati keputusan mahkamah dan tidak mahu didakwa menghina mahkamah.
Bagaimanapun, kata Zahid, keputusan tersebut tidak menghalangnya untuk terus bersama perjuangan Najib dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.
"Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa there are three types of truth. Your truth, my truth and the truth. Truth is god's word.
"Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita," katanya.
Menurut ahli Parlimen Bagan Datuk, terlalu banyak jasa dan sumbangan Najib untuk Umno-BN dan kerajaan yang tidak dapat dilupuskan dalam sejarah negara.
"Ketika PH memerintah 22 bulan beliau berjaya menangkis serangan terhadap Umno, di kala Umno diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.
"Melalui media sosial Facebook beliau berjaya menjawap serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta. Ketika PRN Sabah, Melaka dan Johor beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan Umno-BN.
“Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan Umno," tambahnya.
Tambah Zahid, dia juga mengakui bahawa media sosial Najib sangat berpengaruh.
"Beliau ialah raja media sosial dan berjaya membantu memulihkan Umno lebih cepat hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh Umno sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai Umno pula sekarang," tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai