Kjaan negeri digesa jelaskan kenapa Melaka Gateway dilancar tanpa EIA
Kerajaan Melaka digesa menjelaskan mengapa dan bagaimana projek Melaka Gateway mendapat kebenaran untuk diteruskan tanpa menghantar laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, kegagalan menghantar laporan EIA melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 2012 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) 2015.
"Kerajaan Melaka perlu menjelaskan bagaimana projek besar seumpama itu dibenarkan untuk diteruskan walaupun laporan EIA tidak dihantar dan diluluskan.
"Kerajaan negeri dan JAS perlu segera mengeluarkan arahan henti kerja ke atas projek Melaka Gateway sehingaa siasatan dan penjelasan penuh diberikan berkenaan status laporan EIA projek itu.
"Laporan EIA perlu dihantar dan diluluskan oleh JAS untuk setiap penambakan laut melibatkan pulau buatan atau melibatkan keluasan lebih 50 hektar. Tiada projek yang boleh dimulakan sehingga dan melainkan laporan EIA diluluskan JAS," katanya dalam kenyataan hari ini.
EIA tak dihantar
Menurut Khoo, dia bertanya di Parlimen jika projek itu pernah mendapatkan kelulusan EIA dan kandungan laproan tersebut.
Jawapan bertulis daripada Kementerian Alam Sekitar dn Air bertarikh 8 Ogos menyatakan KAJ Development Sdn Bhd tidak pernah menghantar laporan EIA kepada JAS.
Namun kata Khoo, projek itu dilancarkan pada 2014 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak serta ketua menteri ketika itu, Idris Haron.
Dia berkata projek itu bukan saja menunaikan janjinya malah menyebabkan kerosakan alam sekitar yang besar di pesisir pantai Melaka, menjejaskan komuniti nelayan di Bandar Hilir dan Duyong, mencetuskan hakisan dan gangguan terhadap sistem pengairan yang menjadi antara faktor banjir kilat semakin kerap berlaku.
Selain itu, ia juga menjejaskan warisan kebudayaan masyarakat Kristang dan pusat penempatan Portugis di negeri itu, katanya lagi.
Kurangnya ketelusan
Selain itu, katanya lagi, kerajaan negeri baru-baru ini menyerahkan semula projek itu kepada KAJ Development walaupun kontrak mereka telah dibatalkan pada 2020.
"Kurangnya ketelusan yang berterusan ini telah menyebabkan keraguan terhadap integriti dan kemapanan projek," katanya.
Khoo berkata dia akan berunding dengan masyarakat tempatan dan pakar perundangan berhubung kemungkinan memulakan tindakan undang-undang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai