Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan jawatankuasa diketuai Ambrin sudah dinyah rahsia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Laporan mengenai pemerolehan kerajaan terhadap kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah diubah statusnya dan tidak lagi dianggap rahsia.

Hal itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, yang menerima salinan laporan itu hari ini.

Kata Wong, laporan berkenaan akan dimuat naik di laman sesawang PAC.

"Ini adalah lanjutan daripada syor PAC kepada kerajaan pada 4 Ogos lalu dan keputusan kabinet mengenainya 10 Ogos," katanya.

Langkah menyahrahsiakan laporan berkenaan diumum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Ogos lalu selepas ia dipersetujui kabinet.

Katanya kerajaan mendapati laporan disediakan oleh Jawatankuasa Perolehan, Tadbir Urus dan Kewangan itu wajar didedahkan kepada umum.

Untuk rekod jawatankuasa terbabit dipengerusikan bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Ismail Sabri juga berkata kabinet mencadangkan laporan daripada audit forensik mengenai projek LCS - yang dijalankan pada 2019 - dinyahrahsiakan namun tertakluk kepada nasihat peguam negara dan ketua audit negara.

Perdana menteri juga berikrar bahawa siasatan mengenai skandal pembinaan LCS yang menarik perhatian ramai ketika ini akan dijalankan secara telus. Mana-mana pihak yang bertanggungjawab pula, kata Ismail Sabri, akan dihukum.

Panglima tulis surat

Semalam, bekas Panglima TLDM Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan projek LCS.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Ahmad Ramli semasa dia menjadi pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

BNS adalah kontraktor yang ditugaskan untuk membina enam kapal tempur untuk TLDM. Laporan PAC menyatakan lima daripada enam LCS itu sepatutnya diserahkan menjelang Ogos tahun ini.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada satu pun kelengkapan pertahanan negara itu yang sudah disiapkan.

Projek LCS mendapat perhatian awam selepas PAC mengeluarkan laporannya yang mendedahkan pelbagai ist termasuk bayaran - sebanyak RM6 bilion - yang dikeluarkan kerajaan kepada syarikat pembina sejak 2013..

Kapal pertama sepatutnya disiap dan diserahkan kepada TLDM pada 2019.

Laporan PAC juga membangkitkan dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan cadangan reka bentuk yang dikemukakan TLDM, sebaliknya mengikut saranan kontraktor untuk menggunakan reka bentuk berbeza.

Panglima TLDM ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, juga menulis sejumlah surat untuk membantah pertukaran reka bentuk tersebut.

Lima daripada surat terbabit ditujukan kepada menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, dan dua lagi kepada Najib Razak selaku perdana menteri semasa.

Bagaimanapun tiada permohonan tersebut diterima.