Skip to main
Logo Malaysiakini

Tujuh cedera, siri letupan, kebakaran di Selatan Thai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Sekurang-kurangnya tujuh orang awam cedera dalam siri pengeboman dan kebakaran di 17 lokasi di tiga wilayah selatan Thailand – Narathiwat, Pattani dan Yala pada awal pagi Rabu.

Serangan berlaku lewat tengah malam itu mensasarkan kedai serbaneka, pasar raya mini dan stesen minyak serta turut menyebabkan kerosakan harta benda.

Jurucakap Tentera, Mejar Jeneral Pramote Prom-in berkata sebanyak sembilan serangan dilaporkan di wilayah Narathiwat, manakala enam di Yala dan dua di Pattani.

"Semua serangan berlaku serentak selepas tengah malam," katanya kepada pemberita di Pattani pada Rabu.

Pramote berkata Komander Wilayah Tentera Keempat Lt Jen Kriangkrai Srirak telah mengarahkan semua agensi keselamatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Wilayah selatan Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla sering diancam keganasan sejak 2004.

Demi menamatkan keganasan tanpa henti, rundingan damai telah dimulakan antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata pada 2013, tetapi penyelesaian terhadap konflik masih belum dicapai.

Rundingan antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata, Barisan Revolusi Nasional (BRN) disambung semula tahun ini selepas Malaysia dan Thailand menutup sempadannya pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator dalam perbincangan bersemuka, pertama kali selepas wabak itu melanda.

Sehingga kini, lebih 7,300 orang terbunuh akibat konflik yang tercetus pada 2004, menurut Deep South Watch.

- Bernama