Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim soal Hisham: Kenapa dari dua LCS jadi sebuah?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Veteran DAP menuntut penjelasan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berhubung keputusan kementerian itu mengurangkan jumlah kapal tempur pesisir (LCS) yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan.

Lim Kit Siang berkata, Hishammuddin perlu menjelaskan mengapa dalam masa tiga bulan sahaja, dia telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan tanpa kos tambahan kepada kerajaan dari dua buah kepada sebuah.

"Hishammuddin perlu menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan dari dua buah kepada sebuah ini.

Lim Kit Siang, Veteran DAP

"Menteri pertahanan juga perlu menjelaskan mengapa dalam masa tiga bulan saja, dia telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan tanpa kos tambahan kepada kerajaan dari dua buah kepada sebuah.

"Saya puji Hishammuddin kerana menyahrahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai projek Kapal Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan juga kerana membawa isu untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai perkara ini kepada Kabinet semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Hishammuddin berkata tiada dana tambahan diperuntukkan sekiranya LCS TLDM yang pertama tidak disiapkan mengikut jadual.

Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan

Beliau berkata tumpuannya kali ini adalah memastikan dalam masa terdekat ini, kapal pertama LCS dapat disempurnakan.

“Jadi saya hendak tengok apa yang dah dirancang, apa yang telah dibentangkan kepada kabinet, apa yang telah saya jawab di Dewan Negara dapat disempurnakan, dan ujiannya adalah kapal pertama tadi. Kapal pertama ini tidak akan menerima suntikan dana terbaru.

“Buktikan kepada saya yang kita boleh siapkan kapal (LCS) pertama dahulu. Kalau kapal pertama pun tak boleh siapkan seperti agenda di bawah pelan kita kali ini, tidak guna kita fikirkan dana tambahan,” kata Hishammuddin.

Dalam pada itu, Lim berkata Hishammuddin perlu meletak jawatan sekiranya gagal meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal LCS.

"Seperti yang saya katakan semalam, Hishammuddin perlu meletakkan jawatannya sebagai menteri pertahanan sekiranya dia gagal untuk meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

"Kerana perkara ini menunjukkan yang pendapat dan cadangannya sebagai menteri pertahanan mengenai perkara berkaitan pertahanan negara tidak pandang relevan dan serius oleh menteri-menteri lain dalam Kabinet.

"Saya telah berikan 20 sebab mengapa perlu adanya RCI untuk menyiasat skandal LCS ini. Sebab ke-21 adalah laporan JKSTUPKK itu sendiri, walaupun dengan redaksi," katanya.