Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Rosdy jawab PAS Pahang: Cakap memang senang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, menasihatkan PAS supaya menumpukan kerja membantu rakyat berbanding bercakap mengenai politik di negeri tersebut.

Katanya, kerajaan Pahang yang diterajui BN ketika ini lebih berminat untuk memberikan kebajikan kepada rakyat, bukannya bermain politik.

"Eloklah kita buat kerja daripada bercakap pasal politik," katanya kepada media di Kuantan hari ini.

Wan Rosdy sebelum itu menghadiri majlis perasmian program Rumah Rakyat Pahang.

Dia diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Pahang, Hamdan Abdullah, yang menegaskan rakyat di negeri berkenaan sudah bersedia untuk mengubah kerajaan apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Kata Hamdan, PAS Pahang sudah mencapai unjuran undi kemenangan di beberapa kerusi tambahan dan bersedia menawarkan urus tadbir yang telus, tanpa ketirisan dan rasuah kepada rakyat Pahang.

"Ini bermakna PAS mampu mengambil alih secara demokrasi pentadbiran kerajaan Pahang yang telah lama diuruskan oleh BN dengan segala macam isu diketahui dan tidak diketahui rakyat negeri ini," katanya.

Kata Hamdan, PAS Pahang sudah menyenarai pendek beberapa kerusi parlimen dan lebih 10 kerusi dewan undangan negeri yang berpotensi dimenangi parti itu nanti.

Kata Wan Rosdy, memang mudah untuk sesiapa pun bercakap mengenai apa saja namun BN sebaliknya berusaha memberikan kemudahan kepada orang ramai.

“Cakap memang mudah, tapi macam hari ini kerajaan BN (Pahang) kita bagi rumah kepada rakyat,” katanya.

Wan Rosdy juga berkata, dia menasihatkan PAS agar mereka memberi fokus kepada kerja berkaitan membantu rakyat.

Hal itu, katanya, lebih baik daripada bercakap sesuatu yang jauh lagi, atau belum diketahui datangnya - dipercayai merujuk kepada tarikh PRU ke-15.