'Hal yang malang, saya dibiar tanpa peguam bela' - Najib
Najib Razak menyamakan keadaannya kini seperti tanpa peguam bela walaupun Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan peguamnya Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada perbicaraan.
“Itu adalah hal yang malang dan saya tidak dapat menghujahkan pembelaan saya,” dakwa bekas perdana menteri itu.
Dia berkata permohonan Hisyam untuk menangguhkan perbicaraan bagi mendapatkan pembelaan yang sewajarnya juga tidak dibenarkan.
"Saya kini secara realiti, tidak mempunyai peguam bela.
"Saya percaya, saya mempunyai kes yang kuat dan credible (dipercayai) serta saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya sekiranya diberikan waktu yang munasabah akan melakukan tugas hebat.
"Saya berdoa untuk mendapatkan perbicaraan penuh dan keadilan," kata bekas perdana menteri itu kepada pihak media selepas perbicaraan hari ini ditangguhkan.
Bekas perdana menteri itu juga berkata haknya untuk hidup dan mendapat perbicaraan yang adil telah dipertaruhkan dan membantah sekeras-kerasnya bagaimana prosiding itu berjalan.
“Nyawa, kebebasan dan hak saya untuk mendapat perbicaraan yang adil, kini terancam," tegasnya.
Najib mendakwa pembelaannya tidak boleh dikemukakan hari ini dan hanya pihak pendakwaan yang boleh mengemukakan hujah mereka hari ini.
Katanya, ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kes berprofil tinggi untuk perayu berkuat kuasa dibiarkan tanpa representasi undang-undang yang berkesan manakala pihak pendakwaan terus mengemukakan hujah lisan di hadapan mahkamah tertinggi.
Najib menjelaskan kes SRC adalah kes yang rumit dan memerlukan masa yang mencukupi untuk menyediakan representasi undang-undang yang sewajarnya.
Ahli parlimen Pekan melahirkan harapan bahawa mahkamah akan mengambil kira keseriusan perkara itu dan membuat langkah pembaikan.
Najib mendakwa dia menukar pasukan undang-undang lama yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah kepada Hisyam dan peguam Zaid Ibrahim kerana dia sedang mencari perspektif baru pembelaan kesnya.
Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan hari ini, dengan timbalan pendakwa raya V Sithambaram dijangka menyambung semula penghujahan pagi esok.
Najib main banyak peranan
Terdahulu Timbalan pendakwa raya, V Sithambaram berhujah bahawa Najib Razak memainkan banyak peranan bagi melaksanakan niat jenayahnya dalam SRC.
Pendakwa raya berhujah bahawa perayu memainkan peranan sebagai perdana menteri, menteri kewangan, pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan penasihat emeritus SRC.
Sithambaram berhujah bahawa ini menunjukkan Najib berniat melakukan jenayah atas pelbagai kapasiti yang membolehkan perayu melakukan tujuh kesalahan yang telah disabitkan terhadapnya.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana milik SRC, iaitu satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.
SRC pada mulanya menjadi anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh MOF Inc. MOF Inc, yang juga memiliki 1MDB.
Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai