'Mungkin dia tertekan, sakit otak ka' - Zahidi ulas isu dibangkit wartawan Bernama TV
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin mempertahankan amalan kerajaan mengambil kakitangan kontrak, termasuk dalam agensi berita nasional Bernama dan Bernama TV yang berada di bawah bidang kuasanya.
Pada masa sama, Zahidi berkata Bernama mungkin mempertimbangkan untuk "memeriksa kesihatan" wartawan penyiaran Bernama TV Sydney Yap Xi Ni (gambar, bawah) yang sebelum ini mengetengahkan aduan isu pemotongan gaji dan masalah dalaman lain di cabang TV agensi berita itu.
Ditanya hari ini sama ada kementerian sedang mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap Yap atau tidak, Zahidi berkata, "tindakan kita tak ambil lah, cuma kalau boleh kita check (periksa) kesihatan dia."
"Mungkin dia tension (tertekan) ke, sakit otak ka, mungkin dia bergaduh dengan sesiapa kan," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Zahidi sebelum ini berkata tiada aduan lain yang serupa dibuat untuk menyokong dakwaan Yap, menimbulkan persoalan mengenai keadaan kesihatan mentalnya.
Pada masa sama, Zahidi menggesa kakitangan Bernama supaya terus bersabar dengan gaji semasa, dengan mengakui bahawa agensi itu menerima kurang dana akibat pandemik Covid-19 kerana sebarang peruntukan tambahan kerajaan akan disalurkan kepada bentuk bantuan kewangan lain untuk rakyat.
Zahidi menegaskan bahawa jawatan pengerusi agensi itu pun dilantik secara kontrak.
"Kadang-kadang pekerja tu ada kita ambil tetap, ada yang kontrak.
"Contoh pengerusi ni kontrak, bukan tetap. kita kena faham lah yang lantik kontrak, masa kita panggil dia bekerja, signed, dia setuju ke tidak jadi (kakitangan) kontrak?
"Kalau dia tidak setuju, dia tidak kerja di situ," jelas Zahidi.
"Semua jabatan macam tu, ini sistem kerajaan yang kita amalkan. Bila dia dah setuju kontrak lepas tu baru tak setuju nak mintak tetap, susahlah.
"Kalau ramai macam tu susah lah kerajaan nak beroperasi," katanya.
Pada 5 Ogos, Bernama mengumumkan bahawa program berita Mandarin jam 6 petang hanya akan disiarkan dari Isnin hingga Jumaat.
Berikutan itu, Yap menulis penjelasan panjang lebar di Facebooknya, mendakwa terdapat isu gaji kakitangan yang rendah dan pemotongan gaji serta kelewatan pengambilan pekerja kerana birokrasi.
Pihak Bernama mengeluarkan maklum balas segera yang mengatakan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Yap atas dakwaan memfitnah.
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin, yang menafikan kebanyakan dakwaan Yap, kemudian berkata perkara itu perlu dibincangkan melalui dialog.
Roslan juga menegaskan Bernama tidak pernah mengeluarkan kenyataan media mengenai hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Yap.
Yap sejak itu telah menangkis penafian Roslan, selain menegaskan pengurusan atasan Bernama tidak responsif terhadap usahanya sebelum ini untuk membangkitkan isu kebajikan kakitangan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai