Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatan TPM untuk buktikan Bersatu masih relevan dan berkuasa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jawatan timbalan perdana menteri penting untuk Bersatu bagi membuktikan parti itu masih relevan dan "berkuasa" dalam kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pemerhati politik dan juga geostrategis, Azmi Hassan (gambar, bawah) berpendapat Bersatu perlukan jawatan itu bagi membuktikan kepada ahli akar umbi, mereka masih mempunyai pengaruh terhadap perdana menteri.

Ini meskipun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bukan lagi perdana menteri.

"Bersatu bukannya berkehendakkan sangat jawatan timbalan perdana menteri, tetapi Bersatu mahu pamerkan kepada penyokong mereka bahawa mereka boleh mempengaruhi perdana menteri, mereka berkuasa mendesak perdana menteri yang datangnya dari Umno.

"Ini adalah kerana mereka kecewa apabila perdana menteri buat-buat tak tahu pasal permintaan mereka bagi kes Zuraida Kamaruddin.

“Jadi ini peluang bagi mereka Bersatu untuk mendesak, memberi tekanan kepada perdana menteri supaya mengikut kehendak mereka," kata felo kanan Akademi Penyelidik Strategik Nusantara itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun kata Azmi, strategi Bersatu itu boleh "makan diri" kerana buat masa ini kewujudan jawatan itu tidaklah penting sangat.

"Tidak memberi makna kepada rakyat dan rakyat tidak meminta jawatan itu (timbalan perdana menteri) diwujudkan, terutama sekali ketika masalah kos sara hidup dan inflasi yang tinggi.

"Sebab itu dikatakan dalam satu sudut Bersatu mahu mempamerkan mereka berpengaruh," katanya lagi.

Polemik mengenai jawatan timbalan perdana menteri tercetus apabila Bersatu mendakwa kerusi itu adalah milik mereka.

Muhyiddin mendakwa perkara itu telah dipersetujui dalam satu perjanjian yang ditandatangani perdana menteri dengan Bersatu.

Perjanjian rahsia itu yang turut merangkumi beberapa terma lain lagi adalah antara syarat Bersatu menerima Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun pemimpin Perikatan Nasional (PN) berbeza pendapat mengenai isu jawatan itu dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan ia bukan satu keperluan pada ketika ini.

Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) berpandangan jawatan itu penting bagi mengekalkan momentum mereka dalam radar politik selepas Muhyiddin tidak lagi bergelar perdana menteri.

Awang Azman (gambar, bawah) berkata Bersatu amat memerlukan jawatan timbalan perdana menteri untuk membuktikan mereka masih relevan dan berpengaruh serta tidak hilang daripada radar politik negara.

"Apabila mereka memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri bermakna Bersatu tidak hilang dalam radar politik khususnya selepas Muhyiddin tidak lagi menjadi perdana menteri.

"Dengan adanya jawatan timbalan perdana menteri ini mereka dapat mengatur gerakan mereka supaya dapat menarik penyokong dan juga untuk menunjukkan mereka juga mempunyai pengaruh dalam menentukan hala tuju negara.

"Jawatan timbalan perdana menteri tak akan timbul jika Ismail Sabri tidak buat penjajian secara rahsia...

"Jadi Bersatu rasa inilah masa terbaik menuntut daripada Ismail Sabri yang buat perjanjian tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman, berpandangan perdana menteri berhak untuk menentukan hal itu berdasarkan budi bicaranya.

Jumpa PM bukan nak tuntut jawatan TPM

Tambahnya, sudah banyak isu ini diulas oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sebelum ini.

"Saya fikir hal itu sudah diulas panjang lebar dalam banyak kenyataan serta ulasan oleh pihak kepimpinan Bersatu yang diterbitkan oleh banyak media.

"Sekarang biar perdana menteri menentukan mengikut budi bicaranya," katanya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin pula dilaporkan bahawa pihaknya tidak pernah berhasrat membawa isu tuntutan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya diberi peluang bertemu Ismail Sabri.

Hamzah berkata demikian ketika ditanya berhubung intipati perjumpaan gabungan politik berkenaan dengan perdana menteri dalam masa terdekat.

“Tidak. Tidak. Perbincangan itu nanti akan lebih menjurus kepada permasalahan isu politik semasa tanah air dan bukan mengenai tuntutan jawatan tersebut,” katanya seperti dilaporkan.