Skip to main
Logo Malaysiakini

'Umno negeri tiada autonomi tentukan kerjasama dengan PAS, Bersatu'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno negeri tiada kuasa untuk menentukan kerjasama dengan PAS mahupun Bersatu, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahmad berkata Umno tidak memberi sebarang autonomi kepada kepimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 pada Mac lalu.

“Setakat ini kami berpegang kepada keputusan perhimpunan agung Mac lalu. Keputusan itu adalah untuk keseluruhan dan tidak ada pengecualian. Keputusan itu belum diubah dan ia adalah keputusan tertinggi.

“Dalam perhimpunan itu tidak menyebut pengecualian di beberapa buah negeri,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Ketetapan PAU itu turut merangkumi Selangor yang sebelum ini meminta kuasa autonomi diberikan sebagai usaha menewaskan PH pada PRU ke-15.

Terdahulu, Umno Selangor dilaporkan berharap pimpinan tertinggi parti memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata ini kerana kerjasama antara Umno dan PAS di negeri itu lebih berkesan.

Dalam pada itu Ahmad ketika ditanya berkata dia yakin Umno mampu menang di beberapa negeri termasuk Selangor, dengan menjadikan kemenangan di Melaka dan Johor sebagai petunjuk rakyat telah kembali menerima BN.

“Jadi saya harap kemenangan itu boleh diberikan di Selangor serta beberapa buah negeri lain. Mengenai MN, kita tak sentuh langsung sewaktu perhimpunan Mac lalu. Kita hanya berkata BN akan bergerak solo,” katanya lagi.