Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jerung' tidak semestinya ahli politik, menteri, kata pemimpin Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Jerung" dalam sesuatu kes penyelewengan tidak semestinya membabitkan pemimpin politik, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Ia merujuk kepada pendakwaan berhubung kes penyelewengan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang sehingga kini menyaksikan tiada ahli politik didakwa.

Jelasnya, jerung adalah individu yang mempunyai kemampuan serta pengaruh yang kuat untuk melakukan penyelewengan.

“Penyelewengan ataupun salah tadbir urus dan sebagainya mestilah membabitkan arahan daripada ‘jerung’, daripada menteri ataupun daripada perdana menteri.

"Ini satu andaian yang tak semestinya tepat,” katanya seperti dilaporkan Umno Online yang memetik video yang disiarkan di Facebook Shahril.

Pada 16 Ogos lalu, bekas pegawai kanan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang juga bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa dengan pertuduhan pecah amanah jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur .

Ahmad Ramli adalah bekas pengarah urusan dan naib pengerusi eksekutif BNS.

Dia didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, didakwa melibatkan RM21.08 juta

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Dalam pada itu Shahril yang juga naib ketua Pemuda Umno mengakui terdapat unsur penyelewengan dalam kes LCS setelah membaca laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Namun dia meminta semua pihak untuk menunggu sehingga siasatan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita boleh kritik keputusan, tetapi tidak semua kesalahan ataupun kelemahan keputusan itu mesti ada unsur rasuah daripada menteri. Perkara ini, sekali lagi kita perlu tunggu siasatan akhir, baru kita buat pengadilan.

“Tapi lawan kita dalam keseronokan dan mereka cuba untuk mencemar Umno/BN ini 100 peratus dan label ini ‘jerung’, ini ‘ikan bilis’ dan sebagainya.

"Yang didakwa di mahkamah baru-baru ini, bekas panglima TLDM itu bukan ‘ikan bilis’, namanya pun panglima TLDM. Sekali lagi, saya tidak kata beliau bersalah kerana baru didakwa. Kita perlu konsisten. Orang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Semasa zaman Pakatan Harapan (PH) pun ada juga kes-kes rasuah yang membabitkan perolehan kerajaan. Tiada pula kita kata wajib 100 peratus mesti menteri yang terbabit,” katanya lagi.