Skip to main
Logo Malaysiakini

Serang ketua hakim tindakan terdesak - DAP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan menempelak kempen Internet yang menyerang Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

"Lihatlah betapa terdesaknya mereka? 

“Serang keluarga ketua hakim dan buat ancaman jelas tentang pertumpahan darah," tulisnya di Facebook sebentar tadi.

Syahredzan turut berkongsi tulisan pengguna maya berkaitan ancaman itu serta yang mengaitkan keputusannya dengan suaminya.

Kecaman itu timbul ketika Tengku Maimun sedang mengetuai panel hakim dalam kes rayuan akhir Najib Razak.

Semalam, bekas  Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Hamidah Osman membuat laporan polis berhubung tulisan di Facebook yang dipercayai dibuat oleh suami Maimun, Zamani Ibrahim.

Tulisan pada 11 Mei 2018 itu antaranya menyatakan kegembiraan penulis setelah Najib tidak lagi menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan BN.

Nooryana kongsi di Instagram

Tulisan itu tidak dapat lagi diakses sekarang, walaupun masih boleh dilihat sehingga semalam.

Anak Najib Nooryana Najwa antara pihak yang berkongsi tulisan yang dikatakan dibuat Zamani itu di Instagram story.

“Inilah sebabnya kenapa ia pertempuran yang akan kecundang. Setiap permohonan pasukan Najib ditolak oleh mahkamah.

“Ini bukan keadilan. Ini politik,” tulis Nooryana.

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu sebelum ini disabitkan bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan itu hari ini masuk hari keempat, yang menyaksikan pasukan pendakwaan membuat penghujahan mereka.

Dalam sesi sebelum ini, mahkamah membuat keputusan yang tidak menyebelahi Najib.

Mahkamah menolak permohonan peguam baru Najib untuk menangguhkan kes dan menarik diri atas alasan tidak sempat membuat persediaan.

Sementara itu, terdapat serangan lain ditujukan pada Zamani, antaranya dakwaan dia menggunakan kamera telefon dalam mahkamah.

Undang-undang tidak membenarkan sebarang proses rakaman dibuat ketika perbicaraan.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada orang itu ialah Zamani atau sama ada dia benar-benar membuat rakaman.