Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerakyatan anak: 'Keputusan mahkamah rayuan tak adil, lapuk'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Profesor undang-undang, Shad Saleem Faruqi berkata keputusan Mahkamah Rayuan menafikan hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia adalah "lapuk" dan "tidak adil".

Bercakap kepada New Straits Times, pakar perlembagaan itu berkata Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya ditafsirkan secara harfiah.

Shad Saleem berkata walaupun keputusan dua hakim yang merupakan keputusan majoriti adalah benar dalam mengatakan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengecualikan ibu, namun dia tidak bersetuju dengan penghakiman keseluruhan.

Ini kerana menurutnya, Perkara 14 digubal pada tahun 1962, namun Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk menghalang diskriminasi jantina dalam mana-mana undang-undang pada tahun 2001.

Oleh itu, katanya, penghakiman pada 2022 sepatutnya lebih cenderung kepada pindaan pada tahun 2001 dan bukannya menggunakan "nilai patriarki pada tahun 1962".

"Kita mesti mentafsirnya (Perlembagaan Persekutuan) berdasarkan idea-idea segar yang diperkayakan kemudiannya," katanya.

Shad Saleem menambah Perkara 14 juga tidak seharusnya dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang lain, termasuk Perkara 5(1).

“Perkara 5(1) memperkatakan tentang hak untuk hidup dan istilah nyawa mesti dibaca dari banyak sudut untuk memasukkan kewarganegaraan.

"Undang-undang yang datang kemudian mengatasi undang-undang yang terdahulu. Penambahbaikan perlembagaan 2001 tidak boleh diabaikan kerana peruntukan yang dimasukkan pada 1962," jelasnya.

Dia berkata tafsiran undang-undang dari satu sudut sahaja boleh membawa kepada keputusan yang tidak adil dan tidak logik.

Sebagai contoh, katanya, anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dinafikan kewarganegaraan Malaysia.

Bagaimanapun, sekiranya ibu bapa anak yang sama tidak berkahwin, anak tersebut boleh mendapat kerakyatan Malaysia melalui ibu mereka.

"Ringkasnya, keputusan Mahkamah Rayuan adalah tidak adil dan lapuk. Ia mencerminkan pandangan yang sangat sempit tentang peranan kehakiman.

“Mahkamah bukan sekadar undang-undang tetapi juga institusi moral,” katanya.

Mahkamah Rayuan awal bulan ini membatalkan keputusan penting Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 2021, yang memutuskan bahawa ibu warga Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warga Malaysia dalam memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara melalui kuat kuasa undang-undang.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan hakim Kamaludin Md Said, membenarkan rayuan oleh tiga perayu - kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). .

Pada 9 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

[Baca berita penuh]