Skip to main
Logo Malaysiakini

Zaid: Kami dah lakukan terbaik tapi keputusan mahkamah 'sukar dipercayai'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Zaid Ibrahim berkata firma guamannya yang baru telah melakukan yang terbaik selaku peguam Najib Razak dalam kes rayuan SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Katanya, keputusan mahkamah menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan bukti baru “sukar dipercayai”.

Dalam satu kenyataan panjang lebar hari ini, Zaid berkata dia yakin, bahawa bukti baru yang ingin dikemukakan Najib mempunyai "kesan umpama nuklear" terhadap rayuan itu, selepas meneliti material berkenaan.

“Kami percaya bahawa permohonan itu berasas dan sangat menarik. Malangnya, mahkamah dalam kebijaksanaannya tidak fikir begitu.

"Adalah sukar dipercayai bahawa mahkamah tertinggi di negara ini akan menafikan hak Najib untuk mengemukakan bahan yang relevan dan bukti yang diperlukan untuk memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan," kata Zaid.

Permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru itu adalah berasaskan bahawa hakim perbicaraan kes SRC, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan berikutan jawatannya sebagai peguam am di Maybank sebelum ini.

Zaid berkata, firma guamannya membuat keputusan untuk menerima kes berkenaan lebih-lebih lagi kerana mereka percaya kes tersebut memerlukan pendekatan dan perspektif baru.

"Ia juga memerlukan beliau untuk meninggalkan perkara yang tidak perlu dan serangan peribadi terhadap Hakim Nazlan yang telah mendengar perbicaraan," kata Zaid.

Bagaimanapun, katanya, keputusan Najib untuk mengugurkan mereka sebagai peguamnya adalah kerana bekas perdana menteri itu percaya peguam tidak boleh melakukan apa-apa lagi yang berguna dalam rayuan yang sedang berjalan.

Zaid berkata, ini kerana bekas perdana menteri itu percaya hakim sudah menganggap penyusunan semula pasukan peguamnya pada akhir Julai lalu adalah cubaan untuk menangguhkan prosiding.

“Saya kesal kerana walaupun usaha terbaik peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik, dan peguam dalam pasukan saya dari Kuala Lumpur dan Singapura, kami tidak dapat menepis salah tanggapan yang menyedihkan ini,” katanya.

Pada akhir Julai lalu, firma Zaid,Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dilantik sebagai peguam baru Najib, menggantikan pasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Tidak sampai sebulan kemudian, firma guaman Zaid telah diberhentikan sebagai peguam Najib hari ini.

[Baca kenyataan penuh Zaid]