Skip to main
Logo Malaysiakini

'Timb menteri perlu jelaskan larangan selamanya pada pemilik Crackhouse'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mendakwa pemilik Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mungkin tidak disenarai hitam selama-lamanya oleh DBKL daripada mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur.

Lim yang memetik sumber tak dinamakan mendakwa jawatankuasa pelesenan DBKL hanya mengesyorkan Rizal disenarai hitam selama setahun.

Dakwaan itu bertentangan dengan laporan yang memetik Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin alias yang berkata Rizal disenarai hitam daripada "mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya".

Justeru, dia menggesa Jalaluddin menjelaskan perkara itu.

"Adakah dia membuat pengumuman itu secara sendiri, bertentangan dengan syor jawatankuasa pelesenan DBKL? Jika begitu, apa niatnya?

Lim Lip Eng

"Timbalan menteri perlu memberi penjelasan peruntukan undang-undang mana yang memberi kuasa kepadanya untuk mengenakan hukuman selama-lamanya, seperti menghalang Rizal daripada mendaftarkan perniagaan di Kuala Lumpur, terutama kerana lesen hiburan diberi kepada syarikat dan bukannya individu.

"Adakah timbalan menteri sedar yang dia tiada kuasa untuk membuat larangan peribadi terhadap Rizal?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lalu, Jalaluddin dipetik Berita Harian mengumumkan DBKL juga bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Rizal dan seorang lagi pemilik kelab komedi itu, Shankar R Santhiram kemudian menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Datuk Bandar Kuala Lumpru Mahadi Che Ngah bagi meminta penjelasan berkenaan kenyataan Jalakuddin.

Mereka mendakwa tidak menerima sebarang notis rasmi daripada DBKL berhubung perkara itu, yang menggesa notis rasmi diberikan dalam tempoh 48 jam.

Rizal Van Geyzel

Jika ia tidak dilakukan, mereka akan memohon relif daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan berkenaan.

Lim berkata lagi, sementara dia secara peribadi tidak menyokong tindakan atau kenyataan yang dilihat menghina mana-mana kaum dan agama, dia juga menentang sebarang larangan oleh pihak berkuasa yang tidak berpandukan peraturan.

"Tiadanya jawapan dari pihak timbalan menteri boleh ditafsirkan sebagai pengakuan terhadap kecuaian dalam cara dia mengendalikan perkara ini," katanya lagi.

Crackhouse mendapat perhatian baru-baru ini berhubung persembahan kontroversi di kelab itu yang didakwa menghina Islam. Susulan itu, wanita yang membuat persembahan dengan menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi serta teman lelakinya yang memuat naik kandungan berkenaan di media sosial turut ditahan.

Rizal pula menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.