Skip to main
Logo Malaysiakini

BN akan kalah jika PRU tak dibuat segera, kata Zahid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menggesa kepimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk segera mengadakan PRU15.

Dalam gesaan kali ini, Ahmad Zahid berkata BN berisiko tewas jika ia tidak dilakukan segera.

"Umno sudah membuat pendirian tersebut (berkenaan PRU) sudah lama pun. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti.

"Segerakanlah atau Umno dan BN akan tewas. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Minggu lalu, Zahid yang juga pengerusi BN berkata gabungan itu akan berdepan laluan sukar jika pilihan raya diadakan hanya pada tahun depan, ekoran faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

Dalam kenyataan hari ini, Zahid berkata dia tidak ingin pembangkang menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum pembubaran Parlimen untuk menyerang BN.

"Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang

"Ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk mengugat keyakinan akar umbi Umno-BN," katanya, sambil mendakwa isu yang dikemukakan pembangkang adalah "berbentuk serpihan dan tidak dilihat secara menyeluruh".

Katanya lagi, ekoran "mendapat senjata" untuk menyerang BN, tiada pihak di kalangan pembangkang yang meminta Parlimen dibubarkan walaupun sebelum ini memperlekeh kerajaan hari ini sebagai "kerajaan pintu belakang".

Dia juga membangkitkan wawancara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan The Associated Press sebelum ini, yang antara lain berkata BN akan menang besar jika PRU15 diadakan dalam dua atau tiga bulan akan datang kerana masih memiliki sokongan yang kuat.

Mahathir juga berkata pada masa sama, pembangkang pada masa ini berpecah-belah, justeru menguatkan lagi peluang Umno untuk menang besar.

"Beliau (Mahathir) terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia.

"Pimpinan parti dan akar umbi Umno sangat yakin inilah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU. Sudah banyak kali sudah dijelaskan justifikasi," kata Zahid lagi.