Skip to main
Logo Malaysiakini

Gerakan 'Tolak Kerajaan Gagal' mahu jelajah seluruh negara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebuah gerakan yang digelar "Tolak Kerajaan Gagal" melancarkan jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Digelar Jelajah Tolak Kerajaan Gagal, sekretariat penganjurnya berkata kumpulan itu ingin menyampaikan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, agar tidak memilih lagi kepimpinan yang gagal.

“Kami akan mengadakan ceramah dan protes jalanan berterusan di seluruh negara serta menggiatkan lagi penjelasan kami mengenai kegagalan kerajaan melalui media sosial supaya rakyat Malaysia sedar kepentingan untuk tidak memilih pemimpin bodoh (yang sama) lagi.

“Kami juga menyeru rakyat Malaysia khususnya golongan muda supaya sedar bahawa setiap pilihan yang kita buat memberi kesan kepada masa depan dan generasi akan datang,” kata jurucakapnya Syahmi Shamsudin kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Syahmi berkata sekretariat itu akan mengumumkan butiran programnya termasuk jadual perjalanan melalui media sosial tidak lama lagi.

Kumpulan itu memetik Langkah Sheraton, skandal kapal tempur pesisir (LCS), dan pembentukan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sebagai sebahagian daripada kegagalan pentadbiran Ismail Sabri.

Jurucakap Tolak Kerajaan Gagal Syahmi Shamsudin

“Ini hanyalah sebahagian daripada kegagalan kerajaan yang memberi kesan langsung kepada jutaan rakyat Malaysia.

"Rakyat telah ditunjukkan beberapa siri kelemahan dan kecuaian oleh mereka di atas sana. Kami akan memulakan jelajah yang agresif untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa yang mentadbir sekarang adalah pemimpin yang sesuai dengan kriteria pemimpin 'Jadong' - yang jahat. , bodoh dan sombong - seperti yang digambarkan oleh (ahli akademik) Syed Hussein Al-Attas," tambah Syahmi.

Gerakan Tolak Kerajaan Gagal dibentuk oleh pihak yang sama di belakang gerakan Turun yang terdiri daripada kumpulan pelajar dan sayap pemuda pembangkang.

Turun, yang merancang protes di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur menandakan ulang tahun pertama Ismail Sabri sebagai perdana menteri hari ini, memutuskan untuk membatalkan rancangannya.

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata kumpulan itu mengubah rancangannya supaya ia dapat mendekati lebih ramai orang, bukannya hanya di ibu kota.

“Adalah lebih baik kita menggerakkan kempen di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar,” tambahnya.

Sekretariat pergerakan itu bercadang untuk melaksanakan programnya walaupun selepas Dewan Rakyat dibubarkan dan semasa kempen pilihan raya umum.

"Kempen ini tidak terhad kepada pembangkang dan masyarakat sivil sahaja. Ia terbuka kepada mana-mana pihak, individu atau organisasi (yang tidak berpuas hati dengan kerajaan)," kata Amir.

Aktivis pelajar yang hadir termasuk presiden kesatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Aliff Naif, presiden kesatuan pelajar Universiti Malaya Ooi Go Shen dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya Amirul Amin.

Perwakilan dari Pemuda Amanah, Pemuda PKR, dan Pemuda DAP turut menyertai acara tersebut.