'Bagi saya, panjang atau pendek tak penting'
WAWANCARA | Ia bukan persoalan tentang panjang atau pendek, kerana bagi Ismail Sabri Yaakob, apa yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu tempoh itu diisi.
Ditanya mengenai perkiraan langkahnya untuk memberikan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibubarkan, perdana menteri kesembilan Malaysia itu menjelaskan, apa yang menjadi keutamaan ialah perkhidmatan yang diberikan kepada negara.
"Bagi saya, pendek atau panjang tu tak penting.
"Panjang 20 tahun pun kalau tak memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan pun tak ada makna.
"Pendek tetapi penuh dengan kejayaan adalah jauh lebih baik berbanding lama berkhidmat namun tak ada sebarang kejayaan," katanya.
Ahli parlimen Bera itu ditemui media di Putrajaya baru-baru ini. Wawancara tersebut dijalankan sempena setahun pentadbirannya selaku perdana menteri.
Terdahulu Ismail Sabri ditanya sama ada wujud kebimbangan jika PRU diadakan segera menjadikan dia perdana menteri paling singkat dalam sejarah negara setakat ini.
Biasa dengan tempoh berkhidmat sebagai perdana menteri selama bertahun-tahun, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dipersenda sebagai pemimpin kerajaan yang singkat kerana berada di jawatan tersebut kira-kira 22 bulan saja.
Bagaimanapun tempoh itu 'diatasi' oleh Muhyiddin Yassin yang dilantik menjadi perdana menteri ekoran Langkah Sheraton. Presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri hanya lebih sedikit daripada 17 bulan.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 20 Ogos tahun lalu.
Kenali Zahid dengan rapat
Menurut Ismail Sabri dia tidak memikirkan soal tempoh menjadi perdana menteri walaupun dia boleh saja memanipulasi keadaan itu dengan melengah-lengahkan langkah mengadakan PRU.
Katanya, segala-gala yang berlaku adalah dengan ketentuan Tuhan, sama seperti bagaimana dia yang tidak menyangka menjadi perdana menteri sebelum ini.
Menurut bekas ketua pembangkang itu lagi, sebelum ini dia menjangkakan akan terus menggalas tugas tersebut di parlimen bagi berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga penggal parlimen berakhir.
Pada masa sama Ismail Sabri juga menegaskan, dia hanya mempunyai kuasa memberikan nasihat kepada Agong untuk membubarkan parlimen namun pihak istana juga mempunyai kuasa sendiri.
Agong, kata Ismail Sabri, mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak dengan saranan tersebut.
Dia juga ditanya jika kes mahkamah membabitan Ahmad Zahid Hamidi turut menyumbang kepada pertimbangan untuk mencadangkan PRU, Ismail Sabri menegaskan, hubungan peribadinya dengan presiden Umno itu sangat akrab.
Malah katanya dia mengenali Ahmad Zahid sejak lama dulu iaitu ketika zaman belajar kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu adalah kawan baik abangnya semasa di Universiti Malaya.
"Mereka berkawan, berkongsi bilik di UM. Kalau saya ponteng sekolah pun, saya tumpang tidur di bilik dialah," katanya diiringi ketawa.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, dia mengenali dekat keluarga Ahmad Zahid dan begitu juga sebaliknya.
"Sampai sekarang pun saya rapat dengan dia. Tak timbul isu... isu peribadi tak timbul," katanya.
Sama juga halnya dengan dakwaan berlaku pertembungan pandangan dalam Umno dengan Ismail Sabri menegaskan ia hanya persepsi orang di luar parti saja.
"Saya dengan top five (lima pemimpin tertinggi Umno membabitkan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden) berjumpa dari semasa ke semasa dalam keadaan baik," katanya.
Jika perlu tambah Ismail Sabri dia akan pergi bersendirian ke rumah Ahmad Zahid untuk berbincang namun tidak semua pertemuan tersebut diuar-uarkan kepada pihak lain.
"Justeru kalau ada orang kata saya nak drag (lengahkan) kes dia, sampai dia kena (hukum) atau tidaak, itu tak betul.
"Kita tak tahu apa ketupusan mahkamah... Mahkamah boleh buat keputusan (secara bebas)," katanya.
Untuk rekod “top five” Umno itu merujuk kepada lima pemimpin tertinggi parti iaitu Ahmad Zahid selaku presiden, Mohamad Hasan (timbalan presiden), dan Mahdzir Khalid, Mohamed Khaled Nordin serta Ismail Sabri sendiri.
Mahdzir dan Khaled merupakan dua lagi naib presiden Umno selain Ismail Sabri.
Mengenai bila saranan pembubaran parlimen akan dipersembahkan kepada Agong, Ismail Sabri berkata, pelbagai aspek perlu diberi pertimbangan namun tidak termasuk mengenai tempoh dia menjadi perdana menteri.
"Jadi, pendek atau panjang (tempoh menjadi perdana menteri) bagi saya tak menimbulkan apa-apa kepada saya," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai