Lebih baik Hadi jelaskan kedudukan M'sia dalam CPI, kata DAP
Sekumpulan pemimpin pusat DAP menyarankan Abdul Hadi menjawab persoalan mengenai kedudukan negara dalam indeks perspesi rasuah (CPI)sekarang berbanding meletakkan kesalahan kepada golongan bukan Islam dan bukan bumiputera.
Melalui kenyataan bersama dikeluarkan hari ini tiga anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, rasuah tidak wajar dilihat dari perspektif perkauman dan keagamaan.
Hal itu kerana, kata mereka, Islam menolak amalan rasuah tanpa mengambil kira aspek kaum atau warna kulit.
"Berhentilah daripada perangai sewenang-wenangnya mengaitkan rasuah dengan sentimen perkauman sempit.
"Islam mengecam sesiapa sahaja yang memberi atau menerima rasuah dengan meletakkan taraf kedua-duanya ke dalam neraka," kata mereka.
Kenyataan itu dibuat Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Sheikh Umar Bagharib Ali.
Tambah mereka Abdul Hadi sepatutnya sedar negara seperti Denmark, Finland dan New Zealand berada di kedudukan tertinggi dalam CPI berbanding Malaysia.
Bahkan, kata mereka, Singapura sendiri sudah meninggalkan negara ini jauh di depan dalam isu rasuah.
Negara terbabit, kata mereka, bukanlah sebuah negara yang didiami majoriti penduduk beragama Islam namun memiliki kesungguhan melawan rasuah jauh lebih baik berbanding Malaysia.
"Daripada menyalahkan sesuatu kaum, lebih baiklah Abdul Hadi jawab dulu soalan ini: mengapakah kedudukan CPI Malaysia menjadi lebih buruk ketika PAS sendiri berada dalam kerajaan sejak 2020?" katanya.
Untuk rekod skor Malaysia dalam CPI jatuh lagi - buat kali kedua berturut-turut - pada tahun ini dengan kemerosotan tiga mata berbanding 2021.
Berdasarkan CPI 2021 dikeluarkan Transparency International-Malaysia, skor Malaysia adalah pada 48 mata, berbanding 51 pada tahun lalu, dan 53 pada 2019.
Skor 0 adalah negara paling korup, manakala 100 pula adalah yang paling bersih.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai