'Rakyat kini menanti tawaran agenda antirasuah PH'
Seorang ahli parlimen pembangkang berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh berpeluk tubuh dan membuat gesaan yang biasa-biasa ketika kerajaan kini berdepan dengan isu skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, sebaliknya menggesa PH tampil dengan agenda yang meyakinkan rakyat serta menjelaskannya melalui saluran yang dipercayai.
"Rakyat mahu lihat apakah agenda mengatasi rasuah oleh PH yang perlu dipersiapkan secara konkrit, kemas dan padu.
"PH kena huraikan agendanya untuk menentang rasuah di dalam manifesto bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Ismail Sabri Yaakob menjangkakan pembangkang bakal menggunakan isu LCS sebagai bahan mereka berkempen menjelang PRU ke-15.
Kata perdana menteri, isu kelengkapan pertahanan negara yang gagal disiapkan mengikut jadual itu - di sebalik dana besar sudah disalurkan kepada syarikat pembinanya - akan digunakan seperti isu 1MDB.
Walaupun LCS hanya membabitkan Kementerian Pertahanan secara langsung, kesan daripada skandal itu terpalit kepada beberapa pemimpin utama Umno, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, serta bekas perdana menteri Najib Razak.
Hassan berkata isu LCS memang akan menjadi beban kepada BN dan kesan kemenangan parti itu dalam dua pilihan raya negeri sebelum ini sudah terhakis dengan pendedahan tersebut.
Kata bekas pengerusi PKR Johor itu lagi, ketika ini imej BN sudah kembali ke zaman menjelang PRU ke-14 pada 2018 apabila mereka mengalami kesukaran menjawab mengenai skandal 1MDB.
"Justeru sekarang rakyat mahu tahu apakah program PH untuk menentang rasuah dari A sampai Z, bukan lagi janji palsu dan retorik.
"Apa cadangan PH untuk menangani masalah rasuah yang kini sedang memusnahkan ekonomi, sosial dan politik Malaysia.
"Apakah PH boleh sambut cabaran ini?" katanya.
Seandainya PH menginginkan kemenangan, tambah Hassan, pakatan itu perlu menjadikan janji memerangi rasuah sebagai matlamat utama di samping penyelesaian masalah ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
"Dalam masa terdekat ini PH perlu muncul bersama keazaman dan kesungguhan politik untuk memerangi rasuah serta menumbangkan Umno-BN yang menjadi punca gejala itu berleluasa di negara ini sejak berdekad-dekad lamanya," kata Hassan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai