Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Ada apa sesudah Umno menurunkan 'wahyunya'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Entah bagaimana debaran di dada ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara malam semalam apabila sampai seru untuk mereka berkumpul di tengah Kuala Lumpur.

Seruan dari Menara Dato Onn itu - bagi Umno - lebih kurang adalah 'wahyu' yang wajib dijunjunglah. Hanya ketua bahagian yang super-tegar mampu mengingkarinya.

Menarik benar apabila Umno mengarahkan ketua-ketua bahagian berkumpul sehari selepas media massa menyiarkan temu bual dengan Ismail Sabri Yaakob, dan sehari sebelum Najib Razak kembali harus menghadirkan diri di Mahkamah Persekutuan.

Bukan itu saja. 'Wahyu' tersebut - jika benar dakwaan Jamal Md Yunos semalam - kebetulan disebarkan pada malam Najib melafazkan sumpah untuk kesekian kalinya di Kampung Baru.

Maka, ada apa dengan Umno yang tiba-tiba ricuh semalam?

Keadaan sepatutnya boleh diredakan dengan adanya penjelasan yang wajar dan menyeluruh, tetapi Umno memilih untuk terus berahsia, seolah-olahnya apa yang dibincangkan itu besar sangat sulitnya.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat beberapa pemimpin parti selepas pertemuan itu kelihatan sangat berhati-hati, malah dipercayai sudah diperkirakan kesan dan halanya.

Kira-kira apa yang didedahkan itu adalah maklumat yang mahu disebarkan kepada orang banyak.

Tetapi dalam dunia maya yang tidak berbatas sangat sekarang, tidak banyak yang boleh dirahsiakan. Lebih daripada itu, sesuatu khabar yang disebarkan juga agak mudah dinilai kesahihannya.

Kecualilah dalam kalangan walaun yang sengaja enggan menggunakan akal yang dikurniakan tuhan.

Berkongsi hingga kini

Kericuhan Umno semalam juga menjadi lebih menarik apabila akhirnya geng Top 5 itu kelihatan terpaksa 'mengejar' Ismail Sabri hingga ke Putrajaya ketika secara logiknya dia juga patut hadir di Menara Dato Onn tersebut.

Selain naib presiden dan perdana menteri Ismail Sabri masih ketua bahagian, kan?

Cuma kita pun rasa lucu kerana pemimpin Umno mengajak ketua-ketua bahagian untuk menyertai mereka 'mengejar' Ismail Sabri.

Apakah isu yang besar sangat yang perlu dibincangkan Umno dengan Ismail Sabri itu? Jika sekadar persiapan menjelang PRU ke-15, rasanya tidak ada keperluan mereka bergegas ke sana, ke sini untuk berbincang.

Ia sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada insiden sekumpulan orang kerajaan berkumpul di rumah salah seorang menteri bagi 'membincangkan' Wawasan Kemakmuran Bersama.

Dan ia berlaku ketika kerajaan ketika itu ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH). Selepas Langkah Sheraton, terbukti orang politik terbabit tidak menipu kerana memang ada sesetengah pihak berkongsi kemakmuran tersebut bersama-sama, waima sehingga ke detik ini.

Ia juga mengulangi episod pertemuan demi pertemuan pemimpin Umno menjelang tersingkirkan Muhyiddin Yassin dari pejabat perdana menteri.

Cuma perbezaan ketara kali ini ialah, sedikit sebanyak kita dapat melihat betapa cemasnya sesetengah orang yang diketahui sedang berhadapan dengan masalah tertentu.

Begitulah orang politik. Ketika ada sekelumit lintasan hati terdetik mahu bersangka baik, mereka dengan sepenuh hati dan tekal mematikan perasaan tersebut. Orang politik tidak pernah jemu mengundang cacian dan makian orang ramai terhadap mereka.

Orang politik itu tiba-tiba tidak boleh bernafas dan kaku kalau ada orang mula bersangka baik kepada mereka gamaknya. Dan mereka sangat berbangga dengan kesombongan dan kebodohan tersebut.

Kerana itu ungkapan seperti "10 cakap orang politik, 11 tidak boleh dipercayai" terus subur dan menjadi pegangan kepada orang yang tidak mahu diperbodohkan.

Namun begitu, bertenanglah, khususnya buat orang politik yang semakin dibenci ramai itu. Siapa pun kamu, tenang-tenang saja kerana di sana ada jalan keluar yang selalu menjadi.

Jika ia seperti pantun, ia merupakan pantun yang mudah dibeli orang.

Ia menjadi lebih mudah kerana templatnya sudah disiapkan sejak bertahun-tahun dulu. Atau ia bagaikan sebuah karangan yang boleh disiapkan dengan mengisi beberapa tempat yang sengaja dibiarkan kosong bagi kemudahan orang ramai.

Jika anda - kamulah itu wahai politikus - carilah mana-mana masjid yang ahli jawatankuasanya mudah diajak berkira. Lalu bermunajat, dan bersumpahlah. Oh ya, jangan lupa ajak seorang dua 'ulama' untuk mengukuhkan olahan cerita kamu.

Pedulilah kalau ramai yang tidak mahu percaya, atau beribu-ribu orang mengecam, kerana demokrasi di negara ini adalah suatu kelucuan.

Seseorang wakil rakyat tidak perlu risaukan nasibnya di tangan orang lain kerana yang penting ialah beberapa ribu pengundi di kawasannya saja.

Biarlah seluruh dunia menolak, kerana yang penting hanyalah beberapa ribu penyokong kental di kawasan sendiri saja. Andai ada sedikit kesukaran, agama selalu ada untuk 'diniagakan'.

Sampai masa untuk pilihan raya - yang dirahsiakan sehingga ke saat-saat akhir - orang ramai akan tetap taat mengangkat orang yang mereka suka walau sejahat mana pun dia.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang menolak untuk bersumpah, sebaliknya sering menyingkirkan sampah.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.