Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Tiga kisah seram dalam sejarah 88 tahun TLDM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein kerana menyahrahsiakan dua dokumen mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 bilion.

Dokumen-dokumen itu ialah laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan laporan audit forensik projek LCS 2010-14 yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd, walaupun ia diterbitkan dengan pemadaman yang bukan sahaja tidak diperlukan, tetapi bertentangan dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Laporan JKSTUPKK, laporan audit forensik 2010-2014 skandal LCS, dan juga laporan PAC Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal LCS ini merupakan tiga kisah seram untuk pihak TLDM – antara perkara terburuk yang pernah dihadapi TLDM dalam 88 tahun sejarahnya.

Ketiga-tiga laporan yang menjadi “kisah seram” kepada TLDM ini menjadi sebab yang lebih dari cukup untuk penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai skandal LCS. 

Saya menyeru Hishammuddin untuk memastikan kabinet yang bermesyuarat esok mengambil keputusan rasmi menubuhkan RCI yang diketuai oleh seorang hakim atau bekas hakim.

Selepas tiga kisah seram dalam sejarah 88 tahunnya, TLDM berhak menerima kelegaan pada Hari Kebangsaan ke-65 dengan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, mengatakan yang Umno patut menjawab mengenai skandal LCS sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan tidak boleh membiarkan pembangkang menggunakan isu ini seperti skandal 1MDB dalam pilihan raya umum ke-14.

Satu-satunya cara untuk Umno dan kerajaan menguruskan perkara ini berbeza dengan skandal 1MDB adalah dengan menubuhkan sebuah RCI. 

Usaha ini bukan sahaja tidak dibuat ketika skandal 1MDB, malah parlimen, Pejabat Peguam Negara, dan pihak kehakiman semuanya dilibatkan untuk menutup skandal 1MDB!

PM dalam wawancara bersama media baru-baru ini

Adakah Ismail Sabri bersetuju dengan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal LCS? Adakah Ismail Sabri setuju dengan pihak pembangkang bahawa PRU15 tidak patut diadakan sehinggalah RCI ini melengkapkan laporannya? 

RCI dijangka memerlukan kira-kira enam bulan untuk membentangkan laporannya.

Pelbagai masalah

Membaca laporan audit forensik ini terasa seperti membaca satu lagi “kisah seram” salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah, penipuan, dan salah laku dalam pemerolehan ketenteraan. 

Ia juga pengkhianatan terhadap anggota tentera laut, baik yang sedang atau telah berkhidmat, yang berkorban dan bersedia untuk mengorbankan nyawa demi khidmat untuk negara. 

Audit forensik LCS ini mendedahkan pelbagai masalah. 

- Terma Rujukan Jawatankuasa Pemandu LCS (LCSSC) kelihatan berat sebelah dengan memberikan kawalan penuh kepada pengarah urusan ketika itu, Ahmad Ramli Haji Mohd Nor, yang membawa kepada ketiadaan kebebasan jawatankuasa itu.

- Surat anugerah (LOA) dikeluarkan kepada subkontraktor CAD/CED tidak dibentangkan terlebih dahulu kepada LCSSC untuk kelulusan.

- Penglibatan CAD sebagai pihak tengah tanpa perancangan, kajian, dan penilaian kelebihan ekonomi penglibatan ini. Perkara ini mengurangkan ketelusan dan kawalan aktiviti di CAD. Boustead Holdings kini menjadi pemerhati luar.

- Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menyertai perjanjian pemegang saham untuk membentuk subkontraktor, Contraves Advances Devices Sdn Bhd (CAD). BNS atau Boustead Holdings Group hilang akses kepada buku perakaunan dan rekod perbankan CAD walaupun menjadi pemegang saham majoriti CAD (51%).

- Dengan menukar definisi komponen beberapa kali, skop kerja ditingkatkan untuk mencari peluang untuk mengeluarkan ubahan tempahan atau variation order (VO) yang akhirnya menyebabkan dua kali pembayaran untuk perkhidmatan dan perkakasan yang serupa.

- Terma LOA dan VO dirangka dalam bentuk yang tidak menjaga kepentingan BNS atau Boustead Holdings.

- Nasihat bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar, diabaikan apabila dia membangkitkan bantahan dalam pemilihan DCNS/Naval Group (pembina kapal selam Scorpene) dan juga kebergantungan kepada CAD.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan mengapa mereka berdiam diri mengenai perkara yang saya telah bangkitkan selama seminggu sebelum ini? 

Mengapa tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Ahmad Ramli, datang dari tempoh sebelum skandal LCS dan tidak berkaitan dengan skandal LCS?

Jerung terbesar

Mengapa SPRM belum mendakwa mana-mana orang mengenai skandal LCS yang melibat RM9 bilion ini selepas satu dekad?

Amat menarik untuk meneliti mengenai mesyuarat tergempar ketua bahagian Umno semalam. Skandal LCS ini memecahkan keyakinan pemimpin Umno yang sebelum ini percaya kemenangan dalam pilihan raya umum ke-15 akan menjadi milik mereka.

Pemimpin Umno bercakap mengenai “jerung” dalam skandal rasuah di Malaysia, tetapi persoalan terbesar adalah, siapakah “jerung” terbesar dalam skandal LCS?

Pemimpin PAS, Hadi Awang, cuba menyelamatkan bekas perdana menteri, Najib Razak, dari Penjara Sungai Buloh dengan mengeluarkan kenyataan ekstrem dan bodoh,  yang mendakwa orang bukan Islam dan bukan Bumiputera paling ramai menjadi “punca rasuah”.

Najib dan Hadi dalam pertemuan pada 2019

Adakah Hadi sedar, tidak ada sebuah pun negara majoriti Muslim dalam kalangan 20 negara teratas paling kurang rasuah yang ditinjau setiap tahun oleh Transparency International? 

Dan terdapat lapan negara majoriti Muslim dalam kedudukan 20 negara paling korup di dunia.


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.