Skip to main
Logo Malaysiakini

PM nafi diminta campur tangan kes mahkamah Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada gesaan supaya kerajaan campur tangan dalam kes mahkamah dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak, kata Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, dia berkata, pertemuan pemimpin Umno yang berlangsung semalam hanya membincangkan usaha untuk memperkukuhkan parti bagi menghadapi PRU ke-15.

"Tidak ada," katanya ringkas kepada wartawan ketika ditanya wujud desakan dari Umno supaya campur tangan kes mahkamah dihadapi Najib.

"(Pertemuan) tentang Umno, tentang mesyuarat Umno bahagian, tentang persediaan kita ke arah pilihan raya dan sebagai," katanya kepada media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan pemimpin tertinggi Umno yang diadakan di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, malam tadi.

Perdana menteri malam tadi dikatakan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Umno, namun ia tidak dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Pertemuan itu berlangsung selama satu jam dan berdasarkan tinjauan pemimpin Umno yang hadir ialah Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid.

Difahamkan pertemuan itu diadakan selepas perjumpaan ketua-ketua bahagian Umno di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos ketika ditemui media mendakwa 158 ketua Umno bahagian setuju supaya PRU ke-15 diadakan segera mungkin.

Ditanya mengenai desakan ketua Umno bahagian supaya PRU15 diadakan segera, Ismail Sabri berkata beliau "tidak tahu".

"Tidak tahu saya, saya pun tak ada semalam, jadi saya pun dengar Tok Mat (Mohamad Hasan) punya kenyataan hari ini. Malam tadi dia dah buat kenyataan.

"Antaranya memperkukuhkan parti, normal lah pada Umno kita berjumpa untuk berbincang," katanya lagi.