Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan salah urus LCS: Laporan audit kaitkan sekutu Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dalam mempertahankan pengurusan pentadbirannya berkenaan projek kapal tempur pesisir (LCS), Najib Razak berulang kali menegaskan kontrak tidak diberikan kepada syarikat kroni.

Menurut Najib, projek itu diberikan kepada subsidiari Boustead yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang menurut Najib - secara berseloroh - adalah kroninya, seperti mana rakyat juga adalah kroninya.

Namun, audit forensik yang dibuat Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) terhadap projek itu mendedahkan beberapa dakwaan salah urus yang dapat dikaitkan dengan CEO LTAT ketika itu, Che Lodin Wok Kamaruddin.

Lodin adalah sekutu rapat Najib. Selain mengetuai LTAT, dia juga pernah menjadi pengurus BHIC dan 1MDB.

BHIC adalah syarikat induk Boustead Naval Shipyards (BNS), kontraktor utama projek LCS.

Lodin pertama kali disebut dalam laporan audit BHIC berkenaan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD).

BHIC telah membeli 51 peratus pegangan dalam CAD dengan harga RM25 juta. Rasionalnya adalah untuk memiliki satu platform untuk bekerjasama dengan syarikat pertahanan Jerman, Rheinmetall Air Defence (RAD).

Namun, laporan itu mendapati lembaga pengarah BHIC, yang diketuai Lodin, setuju dengan syor agar RAD kekal mengawal pengurusan CAD memandangkan syarikat itu mempunyai "kepakaran dalaman" untuk menguruskannya.

"Sukar untuk mencari justifikasi bagi logik seumpama itu kerana kepakaran diperlukan dalam program LCS, bukannya untuk pengurusan (CAD).

"(Keputusan itu) amat menjejaskan kepentingan BHIC dan BNS di tangan CAD," menurut laporan itu.

Ia menyokong dakwaan yang dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa Lodin menyerahkan kawalan kepada CAD.

Dalam responsnya, Lodin memberitahu Malaysiakini dia tidak ingat berkaitan perkara itu kerana sudah 12 tahun berlalu dan mini mesyuarat BHIC tiada di tangannya.

Selain menyerahkan kawalan terhadap CAD, lembaga BHIC juga setuju dengan terma yang secara efektifnya membenarkan wakil daripada RAD untuk mengawal kewangan CAD dan meluluskan pembayaran tanpa penglibatan mana-mana wakil BHIC.

Laporan audit itu menyatakan ia tidak dapat menentukan kesan terma seumpama itu kerana tiada akses terhadap rekod perbankan CAD.

Terma tak berpihak

CAD dan subsidiarinya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) diberikan surat perjanjian (LOA) bagi 11 komponen LCS berjumlah RM3.29 bilion bermula 2010 hingga 2014 - tahun-tahun yang diteliti dalam audit BHIC.

Audit BHIC juga menyatakan tema bagi kebanyakan LOA dan perubahan kerja (variation order, VO) tidak berpihak kepada BHIC, tetapi kepada CAD dan CED.

Daripada enam punca risiko kerugian terhadap BHIC, tiga daripadanya dikaitkan dengan CAD dan CED - termasuk LOA yang bertindih, tuntutan berulang dan pertukaran mata wang yang tidak menguntungkan dalam LOA - berjumlah kira-kira RM855 juta.

Masalah berkenaan penglibatan CAD dibangkitkan kepada Lodin dalam sepucuk surat bertarikh 1 Jun 2016 daripada satu pihak yang sudah lama menjadi rakan niaga BHIC.

Kebimbangan tak diendahkan

Antara isu yang dibangkitkan dalams urat itu adalah kontrak peralatan yang "menguntungkan" dialih daripada BHIC dan BNS kepada CAD, walaupun syarikat milik Boustead ini ada kebolehan melaksanakan kontrak itu sendiri.

Rakan niaga itu juga berkata, tindakan melepaskan jangkaan keuntungan sebanyak 49 peratus daripada kerja-kerja CAD juga tidak dapat dipertahankan, memandangkan BNS ada kepakaran dan pengalaman untuk membina kapal.

"Surat itu juga menyebut CAD menjamin tiada peluang tempatan dalam penyelenggaraan dan sokongan...kerana kerja-kerja itu diberikan kepada entiti luar negara.

"Ini bertentangan dengan objektif asas mewujudkan program LCS di Malaysia," kata laporan audit itu lagi.

Laporan itu juga menyatakan Lodin diharapkan untuk membincangkan kebimbangan berkenaan CAD dengan lembaga BHIC dalam jawatankuasa pemandu LCS untuk tindakan sewajarnya, namun dia mengenepikan surat tersebut.

Laporan juga membangkitkan yang Lodin dan pengarah urusan BNS ketika itu, Ahmad Ramli Mohd Noor tidak menggunakan sebarang kuasa eksekutif untuk menukar terma tidak berpihak dalam pemilikan CAD, tetapi sebaliknya "membenarkan berlakunya perkara yang bertentangan dengan kepentingan kewangan syarikat".

Isu berkenaan salah urus kewangan dan LOA dalam projek LCS dibangkitkan oleh juru audit dalaman Boustead Group sejak 2013 hingga 2016.

Namun, laporan audit LCS menyatakan pemerhatian oleh juru audit dalaman ini "gagal memberikan amaran" di pejabat Lodin dan Ahmad Ramli.

Satu lagi perkara yang dibangkitkan dalam laporan audit forensik ini adalah penglibatan Lodin dalam pemerolehan kit keluli pembinaan badan kapal.

Menurutnya, pasukan komersial LCS mengesyorkan syarikat Belanda, Centraalstaal sebagai pembekal kit tersebut kerana syarikat itu membuat bidaan yang lebih murah tetapi "lebik baik secara teknikal".

Namun, pasukan itu diarahkan oleh pengarah projek LCS, Anuar Murad untuk menghubungi IHC Metalix BV (IHC) - sebuah lagi syarikat Belanda yang membuat bidaan dengan tambahan kos €700,000 (RM3.1 juta) - untuk memastikan sama ada mereka dapat menyaingi harg akhir yang dipersetujui dengan Centraalstaal.

Ketua bahagian rantaian bekalan pasukan komersial membantah perkara itu dengan mengatakan ia melanggar etika. Dia akhirnya disingkirkan daripada projek.

Centraalstaal kemudian menulis dua surat kepada Lodin, pada 4 September 2014 dan 3 Oktober 2014, mendakwa ada kejanggalan dalam proses tender kit keluli pembinaan badan kapal.

Namun, laporan audit menyatakan surat itu tidak diendahkah.

Sepucuk surat lagi dihantar kepada Ramli pada 4 September 2014, menyatakan kemungkinan salah laku kerana ada "kelewatan luar biasa" dalam maklum balas daripada BNS, selepas harga muktamad dipersetujui.

Lodin akhirnya menandatangani LOA yang berpihak kepada IHC pada 9 September 2014.

Laporan itu menyatakan BHIC mungkin menanggung kerugian RM4.59 juta selepas berdepan isu tambahan VO dengan IHC berkenaan sijil kilang, walaupun kos sijil sudah pun dimasukkan dalam sebut harga asal.

Lodin turut menjadi pengerusi LTAT sejak 1985 hingga September 2018. Selain itu, dia merupakan pengarah urusan Boustead Holdings sejak 1991 hingga Disember 2018.

Dia letak jawatan sebagai pengerusi BHIC pada Disember 2018.

Ramli, yang juga bekas panglima TLDM, didakwa minggu lalu atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM21.08 juta berkaitan projek LCS.

[Baca berita asal]