Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa seterusnya buat Najib?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas dirinya, Najib Razak kini mempunyai satu lagi jalan mengikut proses undang-undang untuk membatalkan keputusan bersalahnya kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Jika dia memilih untuk berbuat demikian, dia boleh memfailkan semakan di Mahkamah Persekutuan, meminta panel hakim lain untuk menilai semula keputusan yang dibuat oleh rakan hakim mereka hari ini.

Ini adalah di bawah pelaksanaan kuasa sedia ada mahkamah tertinggi negara melalui Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 yang memperuntukkan perkara berikut:

“Untuk menghapuskan keraguan, adalah dengan ini diisytiharkan bahawa tiada apa-apa pun dalam peraturan ini boleh dianggap mengehadkan atau menjejaskan kuasa budi bicara mahkamah untuk mendengar sebarang permohonan atau membuat sebarang perintah yang mungkin perlu bagi mengelak ketidakadilan atau mengelak penyalahgunaan proses mahkamah.”

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Najib boleh terlepas daripada dipenjarakan sementara menunggu proses semakan. Sehingga proses semakan selesai, dia perlu mula menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Semakan adalah berbeza daripada rayuan kerana ia tidak melibatkan merit keputusan, tetapi sama ada proses itu sah atau sebaliknya.

Tiga alasan untuk semakan kehakiman adalah sekiranya perbicaraaan yang dijalankan menyalahi undang-undang, tidak munasabah atau tidak rasional, dan ketidakwajaran prosedur.

Dalam kes ini, Najib mungkin berhujah bahawa dia telah dinafikan proses sewajarnya kerana pasukan peguamnya baru dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan kesnya.

Jika panel hakim yang menyemak keputusan itu mendapati bahawa proses perbicaraan bekas perdana menteri itu disabitkan adalah teratur, maka tiada lagi jalan keluar mengikut mahkamah buat Najib, Dia mesti menjalani sisa hukumannya.

Bagaimanapun ada kemungkinan dia tidak perlu menjalani keseluruhan hukuman penjara, jika dia dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik atau mendapat parol.

Hukumannya juga boleh diringankan sekiranya dia mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan bagi semua kesalahan yang dilakukan di Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa sabitan Najib bermakna dia sudah kehilangan kerusi parlimennya di Pekan, dan akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun selepas dibebaskan.

Jika dia mendapat pengampunan, Najib bukan sahaja bebas tetapi juga boleh bertanding pada pilihan raya.

[Baca berita penuh]