Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah sahkan deraf penghakiman Najib bocor, diubah suai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Istana Kehakiman Putrajaya mengesahkan deraf kerja penghakiman berhubung rayuan Najib Razak dalam kes SRC International telah bocor dan diubahsuai.

Dalam satu kenyataan, pejabat ketua pendaftar mahkamah persekutuan merujuk kepada dokumen bertarikh 26 Ogos, dan disiarkan oleh penulis blog kontroversi Raja Petra Kamaruddin di blog Malaysia Today.

"Pejabat ini mengesahkan bahawa deraf kerja penghakiman yang telah bocor itu merupakan deraf kerja yang belum dimuktamadkan.

“Penghakiman muktamad hanya disampaikan di Mahkamah Terbuka pada lebih kurang jam 4 petang pada tarikh yang sama.

"Didapati bahawa dokumen yang bocor itu telah diubahsuai,” katanya.

Menurutnya, penyiasatan dalaman telah pun dimulakan dan laporan polis juga telah dibuat.

Pejabat ketua pendaftar Mahkamah persekutuan turut menyifatkan perbuatan itu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian Mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistemkehakiman negara.

Awal hari ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa terkejut apabila tular satu dokumen yang dikatakan penghakiman hakim-hakim Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan kes SRC International membabitkan Najib Razak.

Menurut dokumen itu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun.