Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan kes Najib bukti kuasa rakyat - Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rasuah SRC International membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak membuktikan kuasa rakyat dan keberanian badan kehakiman.

"Kita hormat keputusan mahkamah persekutuan bersabit kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini membuktikan bahawa rakyat itu berkuasa, rakyat buat keputusan pada (PRU) tahun 2018 untuk memastikan badan kehakiman bebas dan bersihkan negara daripada rasuah.

"Keputusan rakyat inilah yang membolehkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta dan hukum, bukan mengikut telunjuk politik pihak yang berkuasa, yang telah kita alami selama puluhan tahun," kata Anwar dalam satu rakaman video yang disiar di laman Instagram.

Selain itu, Anwar juga mengucapkan penghargaan kepada hakim yang menurutnya berani dan berwibawa dalam membuat keputusan berasaskan fakta.

"Tetapi ingatlah rakyat, bila memutuskan dengan bijak, anak muda bila menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Bekas presiden Umno itu juga diperintah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun mulai hari ini.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Selain Tengku Maimun, empat lagi yang mendengar permohonan Najib ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, selain hakim kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.