Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: Saya dan rakyat dapat hela nafas lega

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan perjuangannya menentang rasuah tidak sia-sia apabila Najib Razak akhirnya ke penjara, apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Muhyiddin mengimbau bagaimana dia dipecat oleh bekas perdana menteri keenam itu selepas bersuara mengenai penyelewengan dana 1MDB dan SRC International.

"Saya telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah pada skala yang besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC International membabitkan bekas perdana menteri, Najib sejak tahun 2015.

"Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

"Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan mahkamah itu, katanya lagi, adalah bukti sistem kehakiman negara adalah bebas dan dapat menjamin keadilan dan "mengembalikan maruah negara yang tercalar".

Untuk rekod Najib menggugurkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015, ketika skandal 1MDB menjadi perhatian dunia. Tidak lama kemudian, dia juga dipecat daripada Umno.

Turut dipecat daripada Kabinet adalah Mohd Shafie Apdal yang bersama Muhyiddin mempersoalkan 1MDB.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International RM42 juta.


Jatuh bangun Najib: Dari puncak kuasa ke penjara

Empat tahun berlalu, ini kronologi kes SRC Najib


Dalam pada itu Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, keputusan hari ini bukanlah pengakhiran perjuangan menentang rasuah memandangkan perbicaraan kes berkaitan 1MDB yang lain masih belum selesai.

Begitu juga kes rasuah berprofil tinggi lain, termasuk yang melibatkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang masih di peringkat perbicaraan di mahkamah, katanya lagi.

"Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campurtangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Bersatu Johor Sharuddin Jamal berkata keputusan Mahkamah Persekutuan membuktikan Muhyiddin berpegang pada prinsip "berkata benar" dan "nothing to hide" dalam perjuangannya.

"Berakhirnya perbicaraan rayuan akhir Najib membuktikan perjuangan Muhyiddin adalah benar dalam menegakkan kebenaran bagi menentang kemungkaran.

"Sebuah perjuangan yang penuh dengan kesabaran telah dibuktikan kebenarannya, dan ahli Bersatu wajar berasa bangga dengan sosok pemimpin yang ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan tanah airnya," katanya lagi.