Skip to main
Logo Malaysiakini

Skandal 1MDB: Lebih banyak negara perlu bertindak, kata Wright

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika Malaysia mula melaksanakan hukuman penjara pertamanya ke atas individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, wartawan dan penulis, Tom Wright, berpendapat masih banyak lagi yang perlu dilakukan pihak berkuasa negara.

Memetik tulisannya dalam buku Billion Dollar Whale pada 2018, Wright berkata, jenayah menyelewengkan dana negara sebegitu tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama eksekutif di tempat-tempat lain seperti London, Geneva, New York, Los Angeles, Singapura, Hong Kong, dan Abu Dhabi.

Dengan keputusan dibuat mahkamah tertinggi negara semalam, kata Wright, baru ada dua negara yang memenjarakan pihak yang terlibat dalam penyelewengan 1MDB.

Negara pertama yang melaksanakan hukuman tersebut, katanya, ialah Singapura.

Untuk rekod, republik di selatan Semenanjung Malaysia itu sebelum ini memenjarakan beberapa pihak yang didapati bersalah membantu Jho Low iaitu salah satu watak utama dalam skandal 1MDB.

Kini, tambah Wright, tiba masa untuk kerajaan AS, Switzerland, dan negara lain untuk melaksanakan tugas mereka menahan lebih ramai individu yang membenarkan skandal berkenaan berlaku.

“Dan China? Nampaknya, ia terus melindungi Jho Low dan kami hanya ada sedikit harapan untuk melihat keadilan terlaksana.

"Namun hari ini adalah suatu permulaan," tulisnya dalam surat berita (newslatter) Whale Hunting semalam.

Wright dan rakan sekerjanya di The Wall Street Journal, Bradley Hope, memainkan peranan penting untuk mendedahkan skandal 1MDB dan pembabitan sejumlah individu berprofil tinggi di dalamnya.

Memang mampu dibayar

Laporan yang disiarkan di akhbar itu kemudian mendorong pihak berkuasa di pelbagai negara menjalankan siasatan, dengan sesetengahnya sudah didakwa dan dihukum.

Wright dan Hope juga menghasilkan buku Billion Dollar Whale dan menubuhkan surat berita Whale Hunting.

Surat berita terbaru itu muncul berikutan penghakiman Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan sabitan ke atas Najib Razak yang dihukum penjara 12 serta denda RM210 juta.

Bekas perdana menteri itu memulakan hukuman penjara yang ditetapkan ke atasnya itu semalam, iaitu sejurus selepas rayuannya ditolak Mahkamah Persekutuan.

Dia mula didakwa di mahkamah sesyen pada Julai 2018 sebelum kes berkenaan dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Pada 28 Julai 2020 hakim mendapati dia bersalah atas semua tujuh pertuduhan membabitkan dakwaan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kata Wright setakat ini tiada seorang pun individu di firma antarabangsa Goldman Sachs telah dipenjarakan atas pembabitan mereka dalam skandal tersebut.

Eksekutif kanannya pula, katanya, berjaya mengelak daripada dikenakan hukuman.

Mengakui bank pelaburan itu sudah membayar denda berbilion-bilion ringgit kepada Malaysia dan AS atas peranannya dalam skandal terbabit, tetapi dia mengingatkan tindakan tersebut bukan bersifat hukuman dan denda tersebut memang dalam bidang kemampuan mereka.

Dia juga memetik kenyataan Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura Ravi Menon yang berkata, apabila sesebuah bank didenda, kerugian sebenar adalah ditanggung pemegang saham dan pihak berkepentingan lain.

[Baca berita penuh]