Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah arah kerajaan bayar Khairuddin RM300,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan kerajaan Malaysia membayar RM300,000 kepada Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan ekoran penahanannya pada 2015.

Khairuddin yang sebelum ini menjadi pemimpin Umno di Batu Kawan, Pulau Pinang memfailkan saman RM8.83 juta selepas dia ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Dia ditahan selama 62 hari mengikut akta berkenaan.

Saman Khairuddin ke atas kerajaan difailkan pada 4 Mei 2018.

Pada 2015 - ketika negara ditadbir BN pimpinan Najib Razak - Khairuddin banyak membuat laporan mengenai skandal 1MDB kepada pihak berkuasa, sama ada di dalam atau luar negara.

Dia kemudian ditahan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan pada 18 Sept 2015.

Selepas dibebaskan pada 23 Sept, Khairuddin ditahan mengikut Sosma pada 12 Ogos atas tuduhan mensabotaj institusi kewangan Malaysia.

Dalam penghakiman pagi ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.

Pada 12 Mei 2017, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagaimanapun membebaskan Khairuddin daripada sebarang pertuduhan jenayah.

Semasa prosiding dalam talian hari ini, pesuruhjaya kehakiman Quay Chew Soon memutuskan pelbagai laporan polis yang dibuat Khairuddin tidak mewajarkan dia ditahan untuk siasatan mengikut seksyen 124C yang melibatkan dakwaan terlibat dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Ini diperkuatkan dengan tindakan seterusnya oleh defendan untuk tidak mendakwa plaintif di mahkamah.

“Saya mendapati plaintif mengesahkan bahawa tangkapan dan penahanan pertamanya selama enam hari dari 18 Sept hingga 23 Sept (2015) adalah menyalahi undang-undang,” kata Quay.

Dalam samannya Khairuddin menamakan sejumlah defendan iaitu pegawai penyiasat, Wan Aeidil Wan Abdullah, M Chelliah dan Habibi Majinji; selain Khalid Abu Bakar (ketua polis negara ketika itu); timbalan pendakwa raya Masri Mohd Daud dan Awang Armadajaya Awang Mahmud; peguam negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali; dan kerajaan.

Quay memutuskan penahanan Khairuddin selama 56 hari mengikut Sosma selepas itu juga menyalahi undang-undang kerana kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan bukanlah kesalahan yang mewajibkan penahanan Sosma.

“Saya dapati defendan telah menangkap plaintif secara tidak sah di bawah Sosma apabila dia tidak disiasat di bawah kesalahan yang terletak di bawah Sosma.

"Saksi defendan gagal memberi justifikasi mengapa plaintif perlu ditangkap menggunakan Sosma," katanya.

Quay juga memberitahu, defendan gagal menunjukkan sebab munasabah untuk penahanan itu.

Bagaimanapun dia menolak saman Khairuddin yang mendakwa pihak pendakwaan berniat jahat selepas mendapati plaintif gagal membuktikan hal tersebut.

Khairuddin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala peguam kanan persekutuan Andi Razalijaya A Dadi mengetuai pasukan perundangan untuk pihak kerajaan.

[Baca berita penuh]