Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno dijangka lantik 'caretaker' jaga Pekan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pucuk pimpinan Umno dijangka melantik 'caretaker' atau 'penjaga' sementara untuk jawatan Ketua Umno Pekan selepas Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan hukuman penjara dan denda ke atas penyandang jawatan itu yang juga bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Perkara itu dimaklumkan ahli jawatankuasa Umno Pekan, Ishak Muhammad ketika ditanya mengenai status jawatan berkenaan dan perancangan Umno bahagian itu.

"Timbalan Ketua Umno Pekan, Zamri Ramly mungkin akan memanggil satu mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini.

"Mesyuarat itu akan bincangkan mengenai siapa akan dipilih sebagai koordinator untuk kerusi (parlimen) Pekan.

"Lagipun, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) belum membuat sebarang pengumuman mengenai status kerusi parlimen Pekan, sama ada kosong atau tidak, jadi kita tunggulah dulu," katanya.

Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ketua Penerangan Umno Pahang

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad memberitahu semua persoalan mengenai kedudukan kerusi Parlimen Pekan dan perancangan Umno negeri hanya boleh dijawab oleh SPR dan mahkamah.

"Yang boleh jawab soalan ini pihak berkuasa seumpama SPR dan mahkamah," katanya ringkas ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020 memutuskan Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib sebelum Mahkamah Persekutuan pada 29 April lalu menetapkan tempoh 10 hari, bermula 15 Ogos bagi mendengar rayuan akhir Najib.