Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kenapa Hadi tak selesaikan saman Clare dengan mubahalah?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin Amanah secara sinis mencadangkan Abdul Hadi Awang agar bermubahalah saja untuk menyelesaikan saman dikemukakan presiden PAS itu kepada Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

Kenyataan dibuat Faiz Fadzil itu dibuat ekoran pengakuan salah seorang pemimpin kanan PAS yang dia masih belum cukup yakin Najib Razak benar-benar bersalah seperti pendakwaan yang dikemukakan di mahkamah.

Kata Faiz, tidak ada keperluan untuk Abdul Hadi mengemukakan bayaran lebih RM1 juta untuk menyelesaikan saman yang dikemukakan presiden PAS berkenaan.

"Kenapa tidak presiden PAS bersumpah mubahalah sahaja dalam kes saman fitnah dana RM90 juta yang dikemukakannya terhadap Clare?” kata ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional itu hari ini.

Tambah Faiz jika dengan bermubahalah sesuatu dakwaan boleh ditentukan kebenaran atau tidaknya, tiada keperluan untuk PAS membayar wang kepada Clare untuk menarik balik saman tersebut.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, mengakui dia secara peribadi masih meragui Najib bersalah melakukan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram seperti dibentangkan di mahkamah sebelum ini.

Gambar fail

Kata Mohd Zuhdi, keberanian Najib melafazkan sumpah mubahalah itu mendorong hatinya berbisik untuk belum meyakini sepenuhnya bekas perdana menteri terbabit bersalah.

Malah kata setiausaha politik timbalan presiden PAS itu lagi, Najib juga banyak meninggalkan jasa kepada rakyat dan negara selama dia menjadi perdana menteri.

Untuk rekod Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Apabila kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Rayuan, tiga hakim yang bersidang mengekalkan sabitan tersebut.

Tiada penafian wang ke akaun

Semalam lima hakim Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman ke atas Najib. Ahli parlimen Pekan itu kemudian ditahan dan dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Faiz berkata PAS kenyataan dibuat Mohd Zuhd mengenai perbicaraan Najib itu sangat mengelirukan

"Adakah sumpah boleh mengatasi bukti? Atas nas atau dalil apakah Mohd Zuhdi boleh beranggapan begitu?" katanya lagi.

Tambah Faiz, dalam kes Najib, bukti yang dikemukakan pihak pendakwa raya amat jelas dan mengatasi keraguan munasabah sehinggakan Mahkamah Persekutuan membuat dapatan bahawa kes tersebut adalah simple and straightforward (mudah dan polos).

Gambar fail

Dalam penghakiman semalam, katanya, Mahkamah Persekutuan mendapati wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta tidak dinafikan masuk ke akaun peribadi Najib.

Bukti dokumentasi juga, katanya, jelas menunjukkan wang tersebut kemudian habis dibelanjakan.

Selain itu kata Faiz Mahkamah Persekutuan juga bersetuju bahawa pembelaan pihak Najib mengenai wang itu merupakan derma daripada putera Arab tidak dibuktikan.

"Maka, PAS dicabar untuk memberikan, di mana silapnya keputusan mahkamah dalam kes tersebut supaya sistem undang-undang dan kehakiman negara tidak tercemar dengan dakyah songsang mereka," katanya.