Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih buat petisyen, mohon Agong jangan ampun Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan proreformasi sistem pilihan raya Bersih memulakan petisyen dalam talian yang memohon supaya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mengampunkan Najib Razak.

“Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini.

"Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapapun pelakunya,” menurut teks petisyen itu.

Najib dimasukkan ke penjara mulai semalam selepas kalah dalam kes rayuan bagi mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Hari ini sekumpulan penyokong Najib berkumpul di depan Istana Negara di Kuala Lumpur bagi menghantar memorandum bagi memohon pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, menurut petisyen Bersih, Najib yang juga ahli parlimen Pekan telah membawa aib kepada negara dan sebagai sebuah negara, rakyat tidak boleh bertoleransi dengan rasuah walau siapa pun pelakunya.

"Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

"Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini.

"Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapapun pelakunya.

"Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa," tambahnya.

Semalam, pakar perundangan, Salehuddin Saidin dilaporkan berkata Najib atau waris boleh memohon pengampunan daripada Agong meskipun telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Salehuddin berkata Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42 menyatakan bahawa sama ada seseorang yang telah disabitkan dan menjalani hukuman atau waris boleh membuat membuat permohonan pengampunan daripada sultan atau Seri Paduka Baginda.

Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu satu salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Sehingga berita ini ditulis lebih 11,000 tandatangan dikumpulkan di laman web change.org.