Skip to main
Logo Malaysiakini

'Timbalan ketua bahagian pangku jawatan ketua Umno Pekan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Umno Pekan Zamri Ramly, akan memangku jawatan ketua Umno bahagian itu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dan denda terhadap penyandangnya, Najib Razak.

“Tim (Timbalan) sebagai pemangku ketua bahagian,” kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang juga pengerusi Umno Pahang menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama, hari ini.

Terdahulu, Wan Rosdy menerusi kenyataan di media sosialnya, berkata Parlimen Pekan akan dijaga, diurus tadbir dan diberikan perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat, selain bekas perdana menteri itu disifatkan amat berjasa kepada Pahang dan negara.

"Bagi kami, amat besar jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Najib dalam membangun dan memajukan Pahang serta negara ini sepanjang perkhidmatannya sebagai perdana menteri dan menteri besar Pahang satu ketika dahulu.

"Justeru, kami amat menghargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah beliau curahkan selama ini, katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Pekan Ishak Muhammad berkata timbalan ketua Umno Pekan dijangka akan memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan perkara yang berbangkit daripada keputusan semalam.

"Timbalan akan lakukan dan kita akan berbincang bersama-sama. Apa-apa keputusan akan dibuat bersama-sama," katanya ringkas.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

-Bernama