Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib bersut biru, tanpa gari muncul di mahkamah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keadaan tenang di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini, meskipun bekas perdana menteri Najib Razak muncul kali pertama sejak dipenjarakan.

Ini berbeza dengan keadaan di luar istana kehakiman pada Selasa lalu yang dibanjiri penyokong kepada bekas presiden Umno itu, di mana Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya berhubung tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hari ini Najib kembali ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan berkaitan kes penyelewengan RM2.28 bilion daripada dana kekayaan negara Malaysia, 1MDB.

Bekas perdana menteri itu menaiki kenderaan awal pagi ini, diiringi van jabatan penjara.

Kenderaan berkenaan tidak melalui pintu masuk utama kompleks mahkamah KL.

Najib dilihat berada dalam kompleks mahkamah dengan memakai sut biru dan bertali leher berwarna biru tua.

Bilik mahkamah, tempat perbicaraan sedang dibicarakan, juga telah diletakkan penghadang.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu dilihat duduk di kandang tertuduh tanpa digari.

Malaysiakini menyaksikan beberapa anggota polis menghalang orang ramai daripada menunggu di luar bilik mahkamah.

Bekas menteri kewangan itu akan dibicarakan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pada 23 Ogos lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun atas kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.