'Semangat juang daddy masih kuat'
Bekas perdana menteri Najib Razak sedang membiasakan diri dengan rutin baru di dalam penjara, kata anaknya Nooryana Najwa.
Katanya, ia berbeza sama sekali dengan jadual harian "Bossku" yang padat.
"Alhamdulillah, daddy dalam keadaan sihat dan semangat perjuangan daddy masih kuat," katanya di Instagram.
Najib dimasukkan ke penjara kelmarin setelah gagal membatalkan keputusan bersalah dalam pertuduhan rasuah melibatkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Dia dihukum penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta.
Mengulas lanjut perkembangan Najib, Nooryana berkongsi rasa kejauhan dengan bapanya buat pertama kali.
"Esok (hari ini) kami sekeluarga dapat bertemu - daddy akan ke mahkamah untuk perbicaraan kes 1MDB.
"Yana rasa ini kali pertama kami menanti kehadiran daddy di mahkamah kerana saya dan keluarga dapat meninjau keadaan daddy, walaupun dari jauh," kongsinya.
Selain itu, Nooryana turut menitipkan ucapan jutaan terima kasih kepada kakitangan di Penjara Kajang kerana keprihatinan mereka terhadap bapanya.
"Terima kasih kami ucapkan kepada pegawai dan pengawal di Penjara Kajang kerana ambil berat keadaan daddy.
"Kami sangat hargai keprihatinan mereka," tulisnya.
Najib muncul kali pertama sejak dipenjarakan hari ini di Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan berkaitan kes penyelewengan RM2.28 bilion daripada dana pelauran negara, 1MDB.
Bekas perdana menteri itu menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam, awal pagi ini, dengan diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai