Bersongkok tapi seluar pendek, acara fesyen KL pula dilanda kontroversi
Selepas insiden di Kedah, acara fesyen di Kuala Lumpur pula dilanda kontroversi hampir sama.
Ia susulan seorang model memperagakan fesyen yang menampakkan bahagian dada serta berseluar pendek sambil memakai songkok.
Menteri agama Idris Ahmad antara pihak yang tidak senang dengan perkara itu.
Pemimpin PAS itu mengingatkan orang ramai supaya “jangan cuba mempermainkan atau membuat sebarang unsur provokasi terhadap agama Islam”.
“Kita tidak pernah mengganggu agama lain dan kita tidak pernah menghina agama lain kerana ia merupakan ajaran agama Islam yang dididik oleh agama Islam itu sendiri.
“Kita harap orang (agama) lain menghormati agama Islam.
“Kamu bebas untuk menganuti agama kamu tetapi jangan ada unsur-unsur bersifat provokasi,” dia dipetik sebagai berkata dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Harakahdaily melaporkan dia berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan itu yang berlaku dalam Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 di baru-baru ini.
Isu itu mendapat perhatian awam selepas majalah hiburan EH! memuat naik rakaman video acara yang memaparkan “Koleksi Behati” yang mengambil inspirasi daripada gaya Peranakan.
Minggu Fesyen Kedah awal bulan ini terpalit kontroversi pemakaian seorang pengunjungnya yang berjaket tetapi menampakkan bahagian dada (bawah).
Exco Kedah Mohd Hayati Othman kemudian menjelaskan individu disangka wanita itu sebagai seorang mak nyah.
Penjelasan pereka fesyen
Sementara itu, pereka fesyen Kel Wen menjelaskan kontroversi itu dengan mengingatkan tentang sejarah songkok yang berasal daripada tarbus daripada era kerajaan Usmaniah di Turki.
Katanya, songkok ialah aksesori kepala rasmi dan bercorak kebudayaan serta tidak semestinya berkaitan dengan agama.
“Saya bukan Islam tetapi memakai songkok menunjukkan saya menerima dan belajar agama ini dengan cara hidup peribadi saya sendiri.
“Jika kamu tidak dapat terima, ia bermakna kamu rasis dan inilah masalah sebenarnya,” katanya.
Dia juga berkata pemakaian songkok dengan seluar pendek sama konsepnya dengan pemakaian tudung tetapi menunjukkan bahagian leher atau memakai sut rasmi dengan seluar pendek.
Dalam status lain, dia menjelaskan tidak mempunyai niat untuk memperolok-olokan sebarang agama.
“Islam itu indah dan membesar di kelilingi orang Islam di Malaysia secara semula jadi mempengaruhi seni dan gaya saya,” katanya.
Ini kontroversi ketiga melibatkan Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini terdapat kontroversi berkaitan bayaran model dan tindakan model memperagakan baju sambil memegang rokok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai