Skip to main
Logo Malaysiakini

Waspada setiap kata-kata, perbuatan - polis Brickfields

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati apabila memberi kenyataan atau bertindak bagi mengelak berlakunya ancaman terhadap keselamatan awam.

Ketua Polis Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor, berkata demikian semasa mengesahkan perhimpunan kira-kira 300 orang di luar kawasan Istana Negara semalam tidak mendapat permit.

Katanya semasa menjalankan tugas kawalan keselamatan di Pintu 3 Istana Negara, anggota polis mendapati ada satu perhimpunan untuk menyerahkan memorandum.

"Dianggarkan seramai 300 orang berpakaian serba hitam telah berkumpul sambil melaungkan ‘Hidup Najib’ dan 'Bossku''.

"Polis mendapati penganjur perhimpunan tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan tersebut," katanya hari ini.

Semalam sekumpulan orang yang mendakwa sebagai penyokong Najib Razak, berkumpul di kawasan terbabit untuk menyerahkan memorandum menuntut agar Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada bekas perdana menteri itu.

Jurucakapnya mendakwa mereka adalah daripada kumpulan Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM).

Melalui klip video yang tular, dia juga dirakamkan sebagai berkata mereka memberikan tempoh tujuh hari untuk Najib dibebaskan, atau jika tidak, perhimpunan yang lebih besar akan diadakan.

"Kami mohon, jika minggu ini tak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi," katanya.

Dia juga meminta pemimpin Umno untuk menarik semula sokongan mereka kepada kerajaan sekarang yang dilabelnya sebagai "betul-betul tak guna."

Amihizam berkata polis akan membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan semalam dan akan memanggil pihak penganjur untuk mendapatkan kenyataan mereka.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada sama ada dari segi perbuatan atau ucapan yang boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini.

"Polis juga menyeru orang ramai agar tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran," katanya.